Selalu juga Sha dengar orang bercerita tidak tahan dengan perangai pelakon tersohor yang satu ini. Mulutnya sungguh berbisa, pendek kata kalau dia 'menembak', memang pedihlah yang mendengar.

Namun, ramai 'menikus' kerana menghormati kedudukannya sebagai pelakon hebat tanah air. Dia pun orang lama, banyak pengalaman dan gudang ilmu kepada generasi muda.

Terbaru, dia membintangi satu filem dan dengarnya beberapa kali mengugut mahu balik, sedangkan penggambaran belum habis.

Mungkin dia bergurau, tetapi caranya mencemaskan kru. Kerja belum selesai, tiba-tiba cakap nak balik. Setiap kali perkara itu berlaku, mereka

berusaha mengambil hati pelakon ini dan menggembirakannya.

Kata sumber pada Sha, kalau benar bergurau, ia memang kasar. Sekali dua mungkin tak mengapa tetapi kalau asyik itu yang keluar dari mulutnya, adakah itu gurauan?

Keduanya, dia enggan ditemubual wartawan yang hadir membuat liputan. Puas dipujuk produksi, tetapi dia tetap berkeras tidak mahu ditemubual. Walhal niat wartawan ke tempat itu untuk mempromosikan filem itu, tetapi tiada kerjasama daripadanya.

Dia siap sebut dalam kontrak tak ada pun tulis dia akan ditemubual. Aik, kalau nak ditemubual untuk promosi filem, perlu ada dalam kontrak?

Mungkin pelakon ini tidak faham temubual bersama media antara satu cabang promosi penting untuk menarik penonton ke panggung. Apabila karya itu mendapat liputan meluas di akhbar, keterujaan penonton untuk ke panggung makin ting-gi, bak kata seorang pengarah terkenal.

Kalau pelakon tak mahu bagi kerjasama, payahlah. Tak tahu pula kalau dia hanya mahu ditemubual oleh mereka yang rapat dengannya.

Jadi, siapa sebenarnya yang tidak profesional? Kalau mahu pengamal media faham dan tahu kerja pelakon, dia juga perlu tahu skop tugas wartawan.

Penat datang jauh-jauh, bukan mahu makan angin, sebaliknya atas dasar kerja dan kesedaran mahu sama-sama mengangkat karya tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:00 AM