Susah kalau dia berasakan dirinya diva dan segala yang 'terbaik' adalah miliknya. Artis yang SS maksudkan ini boleh dilabelkan sebagai 'kaki gaduh' kerana pada pandangan matanya, orang lain semua 'tak kena'.

Artis ini yang SS rujuk sebagai A sudah bertemu dengan seorang lagi rakan artisnya iaitu artis B. Tak tahulah SS entah di mana silapnya pada pertemuan yang tidak diduga itu mereka tidak bertegur sapa pada hal sebelum ini mereka berdua sangat baik.

Tidak semena-mena selepas pertemuan itu 'tak ada angin, tak ada ribut' artis A mula menjaja macam-macam cerita buruk mengenai artis B sedangkan artis B sedikit pun tidak ambil tahu mengenai kehidupan mahupun rutin lain artis A. Artis B jadi pelik dan tertanya-tanya kerana artis A pula lebih tahu mengenai kisah hidupnya. Sedangkan hakikatnya agak lama juga mereka tidak berjumpa dan bertegur sapa.

Jadi, artis B sudah 'naik hantu' dengan artis A dan khabarnya untuk 'menutup' mulut A yang ternganga macam mulut belanga itu, artis B mahu menyamannya. Tindakan itu dibuat kerana artis A jenis yang tidak boleh diajak berbincang lantas jalan terbaik adalah mengirimkan 'warkah cinta' kepadanya.

Sudah acap kali SS dengar mengenai 'mulut longkang' artis A ini dan kalau benar artis B nak menyamannya, kenalah buku dengan ruas.

SS: Alangkah eloknya kalau hidup saling memberi dan menerima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:00 AM