Ketawa pula SS mendengar gosip membabitkan seorang penyanyi baru yang khabarnya membuat onar terhadap rakannya yang juga seorang penyanyi popular.

Kononnya penyanyi baru ini tergamak mencantas tawaran persembahan penyanyi popular itu.

Difahamkan, seorang penganjur menghubunginya untuk menawarkan persembahan kepada artis berkenaan. Dia yang sememangnya terbabit dalam pengurusan aktiviti seni artis itu memaklumkan kepada penganjur tadi, artis berkenaan tiada kelapangan pada tarikh yang dicadangkan.

Dia kemudian menawarkan namanya sendiri sebagai ganti. Dia tidak sedar semasa sedang berbual dengan penganjur itu, artis itu sedang berada di belakang siap pasang telinga mendengar perbualan artis baru itu tadi.

Malah, artis popular itu sempat membelek jadual persembahannnya dalam telefon bimbit dan ternyata pada tarikh cadangan penganjur itu dia tidak terbabit dengan sebarang aktiviti.

Khabarnya, berlaku pertengkaran antara mereka dan semenjak kes itu, SS dengar hubungan mereka menjadi renggang.

SS: Ramai juga orang yang berjaya kerana cantas orang!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 5:04 AM