Anggota bomba di tempat kejadian lori pasir terjunam ke dalam gaung sehingga mengorbankan seorang wanita, tengah malam tadi. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba di tempat kejadian lori pasir terjunam ke dalam gaung sehingga mengorbankan seorang wanita, tengah malam tadi. FOTO ihsan bomba
Fardy Bungga
am@hmetro

Kuala Lumpur: Sebuah kren terpaksa digunakan untuk mengangkat lori pasir bagi mengeluarkan mayat seorang wanita yang tersepit di bawah lori itu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, usaha mengeluarkan mangsa, Mahsuri Abdul Latif, 50, mengambil masa lebih dua jam.

Kemalangan di Kilometer 20, Lebuhraya NKVE menghala Kota Damansara itu berlaku selepas pemandu lori gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Pemandu lelaki berusia 50 tahun itu hanya cedera dan berjaya keluar dari lori dengan bantuan orang ramai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.32 tengah malam sebelum sebuah jentera serta tujuh anggota bomba ke tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berjaya keluar selepas dibantu oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

"Mangsa yang maut tersepit di bawah lori dan anggota bomba terpaksa meminta bantuan kren untuk mengangkat lori itu sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.58 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 1:45 PM