ANGGOTA bomba menggunakan pengusung membawa mangsa yang terbabit kemalangan.
ANGGOTA bomba menggunakan pengusung membawa mangsa yang terbabit kemalangan.

Subang: Seorang pemandu lori simen nyaris maut sejurus kenderaan berat dipandunya hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam cerun sedalam tujuh meter di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang semalam, mangsa, Khalid Mohamad, 50, memandu menuju ke pusat ibu kota.

Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Ahmad Khir Zainal Abidin, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.50 tengah hari dan sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, lori itu ditemui terbalik dan terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam lori berkenaan.

“Mangsa tersepit di bahagian pemandu dan anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ahmad Khir berkata, mangsa berjaya dikeluarkan melalui cermin hadapan dan tidak cedera.

Dia berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:33 AM