KEADAAN treler yang terbabas di KM 220 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
KEADAAN treler yang terbabas di KM 220 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Seorang pemandu treler maut dihempap tiang konkrit yang dibawa apabila kenderaan dipandu terbabas di Kilometer 220 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 4.43 pagi tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah lori treler muatan tiang konkrit terbabas ke bahu jalan dan mendapati pemandunya tersepit dan dihempap tiang konkrit yang dibawa.

"Pemandu berusia 33 tahun disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tindakan mengangkat dan mengalihkan tiang konkrit dilakukan dengan menggunakan jentera kren.

"Selepas tiang dialihkan, pihak bomba mengambil masa sekitar lapan minit bagi mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 11:47 AM