THONGCHAI pemain golf handalan Thailand.
THONGCHAI pemain golf handalan Thailand.
AFP

Bangkok: Terbuka Thailand kembali disenaraikan dalam Jelajah Asia selepas lapan tahun menyepi, umum penganjur semalam selain mengesahkan pemain Australia, Scott Hend (gambar) dan pemain kegemaran tempatan Thongchai Jaidee akan menjadi tajuk utama kejohanan golf itu hujung bulan ini.

Perjanjian itu dilihat sebagai tamparan baru buat jelajah pencabar yang bergelut Jelajah OneAsia, yang merampas kejohanan itu daripada Jelajah Asia pada 2010 dan hadir hanya beberapa minggu selepas Jelajah Asia mengumumkan mereka kembali ke China, yang dikuasai OneAsia sebelum ini.

Kejohanan kebangsaan Thailand itu, yang bermula sejak 1965, akan diadakan tahun ini di Thai Country Club, Bangkok dari 18 hingga 21 Mei ini dengan hadiah wang tunai AS$300,000 (RM1.3 juta).

Pemain nombor satu Jelajah Asia 2016, Hend, pemenang tiga kali Order of Merit Thongchai dan rakan senegaranya dari Thailand, Kiradech Aphibarnrat semuanya sudah mengesahkan mereka akan beraksi.

“Terbuka Thailand satu daripada kejohanan kebangsaan tertua di Asia dan kami teruja untuk mengembalikan semula kejohanan berprestij ini dalam kalendar kami,” kata CEO Jelajah Asia, Josh Burack.

Jelajah Asia tersisih daripada kuasa besar golf Asia Timur, China, Korea Selatan dan Jepun sejak 2008 apabila persatuan golf profesional negara itu menyokong Jelajah OneAsia.

Namun OneAsia bergelut akhir-akhir ini. Ia hanya mempunyai tiga kejohanan yang disahkan dalam kalendar 2017: Terbuka China di Beijing minggu lalu, yang diiktiraf bersama Jelajah Eropah dan dua lagi di Korea.

Bulan lalu, Burack mengumumkan satu kerjasama strategik bersama Persatuan Golf China yang menyaksikan Jelajah Asia memberi pengiktirafan bersama empat kejohanan baru dengan hadiah antara AS$300,000 (RM1.3 juta) hingga AS$500,000 (RM2.15 juta).

Burack turut berjanji mereka akan menjadi hos lebih banyak kejohanan di Jepun dan Korea Selatan ketika Jelajah Asia berusaha untuk turut menguasai pasaran besar Asia.

Terbuka Thailand kali terakhir diiktiraf oleh Jelajah Asia pada 2009 apabila ia dimenangi pemain India, Jyoti Randhawa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 9:58 AM