Kuala Lumpur: Kapten Pasukan Eropah Darren Clarke (gambar) dari Ireland Utara menyatakan hasrat pasukan itu untuk memenangi edisi kedua saingan dinanti-nantikan, Piala EurAsia anjuran DRB-Hicom yang dijadual dari 15 hingga 17 Januari, tahun depan.

“Saya merasakan kami boleh menang. Saya tahu kami boleh menang dan saya berharap kami akan menang,” kata Clarke, 47, pada sidang media di venue kejohanan berkenaan di Kelab Golf & Country Glenmarie di Shah Alam, kelmarin.

“Pasukan Eropah datang ke sini untuk menang. Saya perlu menewaskan rakan lama saya Jeev (kapten Pasukan Asia Jeev Milkha Singh). Saya tidak mahu dikalahkan Jeev,” kata Clarke secara berseloroh.

Clarke selaku kapten berperanan sebagai bukan pemain bersama pasukan Piala Ryder Eropah, melawat venue kejohanan itu sebagai persediaan menghadapi perlawanan pasukan antara benua itu, yang berakhir dengan keputusan seri 10-10 tahun lalu.

Piala EurAsia akan menampilkan 24 perlawanan, berdasarkan format sama dengan Piala Ryder yang mana pasukan akan bermain menggunakan format ‘fourball (better ball)’ pada hari pertama, ‘foursomes’ pada hari kedua sebelum berakhir dengan acara perseorangan pada hari ketiga.

Pasukan yang memenangi kejohanan itu akan berkongsi hadiah wang tunai AS$3.6 juta (kira-kira RM15.5 juta), manakala naib juara membawa pulang AS$1.2 juta (kira-kira RM5.2 juta).

Pada edisi pertama Piala EurAsia Miguel Angel Jimenez dari Sepanyol dinamakan bekas kapten Piala Ryder Paul McGinley untuk mengetuai Pasukan Eropah, manakala Thongchai Jaidee dari Thailand dipilih kapten Pasukan Asia.

Clarke percaya dengan semangat berpasukan yang baik, Pasukan Eropah akan berjaya kali ini.

Beliau berkata Pasukan Eropah tidak akan memandang rendah keupayaan Pasukan Asia, terutama dengan adanya bintang Jelajah Asia seperti Thongchai Jaidee, Anirban Lahiri (India) dan Kiradech Aphibarnrat (Thailand) yang berada dalam ranking 50 pemain terbaik dunia.

“Pasukan Asia tidak boleh dipandang ringan. Mereka pemain hebat dan pasukan yang mantap. Saya pasti Jeev akan melakukan tugas cemerlang dengan cuba memberi motivasi kepada rakan-rakannya seperti mana saya akan dilakukan terhadap pasukan kami,” kata Clarke yang juga juara 14 kali Jelajah Eropah, juara Major dan lima kali anggota pasukan Piala Ryder.

Pasukan Eropah dipilih dalam kalangan 10 pemain terbaik daripada ranking saingan akhir Race to Dubai 2015, serta dua pemain yang dipilih ketua pasukan.

Pasukan Asia pula dipilih dalam kalangan empat pemain terbaik Asia menerusi Merit Jelajah Asia 2015 setakat 14 Disember dan empat pemain yang layak berdasarkan Ranking Rasmi Golf Dunia sehingga 14 Disember serta empat pemain dipilih ketua pasukan. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:08 AM