THONGCHAI selesa dengan cuaca di  Saujana Golf & Country Club. FOTO
THONGCHAI selesa dengan cuaca di Saujana Golf & Country Club. FOTO
Farah Azharie

PEMAIN Thailand, Thongchai Jaidee akan beraksi dalam kejohanan ke-200 kariernya di golf Kejuaraan Maybank di Saujana Golf & Country Club.bermula esok hingga 4 Februari ini.

Begitupun, jaguh golf dari negara jiran itu tidak sedar dengan pencapaian yang dicatatnya itu berikutan jadual yang padat tetapi gembira untuk kembali ke gelanggang yang pernah menyaksikan dia menjuarai dua gelaran Terbuka Malaysia berturut-turut pada 2004 dan 2005.

“Saya datang ke sini setiap tahun, ia seperti rumah saya dan saya sudah bermain di sini sebanyak dua kali,” kata Thongchai mengulas keadaan lapangan di Saujana Golf & Country Club yang mengalami perubahan besar tahun lalu.

“Saya mengingati lapangan golf ini sudah berubah sepenuhnya, beberapa green diubah di beberapa lubang, kawasan tee tidak lagi panjang tetapi ia tidak mengapa kerana apa yang paling penting ialah keadaan cuacanya.

“Setiap tahun, sukar untuk mengawal keadaan ini, kadang kala ia hujan, kadang kala mendung dan ia adalah sebahagian daripadanya,” kata Thongchai yang memiliki 13 gelaran Jelajah Asia dan lapan kali kejuaraan Jelajah Eropah.

Thongchai, yang akan mencecah usia 49, tahun ini beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah RM11.7 juta itu tanpa sebarang jangkaan selain menjadikannya sebagai medan persediaan untuknya sebelum beralih ke Jelajah Senior.

“Sasaran saya adalah untuk menjuarai Jelajah dan itu sentiasa berada di minda saya. Tetapi saya mahu mengehadkan permainan saya dan bersedia untuk masa depan dan sasaran saya adalah dua tahun lagi. Jadi pada tahun ini saya akan bermain dengan normal.

“Menang atau tidak, melepasi cut atau tidak, ia tidak mengapa kerana masih banyak yang saya perlu lakukan,” kata Thongcha yang kini menghuni ranking 217 dunia.

Sementara itu, pemain China, Li Hao-tong yang masih segar dengan kemenangan di Omega Dubai Desert Classic, minggu lalu mengakui permainannya ketika ini di tahap terbaik.

Pemain yang ketika ini menghuni ranking ke-2 Jelajah Eropah itu mengakui kemenangan di Dubai di mana dia menewaskan pemenang empat kali gelaran Major, Rory McIlroy memberikan keyakinan.

“Jelas ia satu penghormatan yang besar (menang ke atas McIlroy) dan daripada itu saya mendapat banyak keyakinan dan pengalaman. Jadi saya agak gembira saya boleh datang ke sini dan berada di posisi itu,” katanya.

Selain Thongchai dan Li Hao, antara pemain ternama menyertai Kejuaraan Maybank kali ini ialah penyandang juara dari Paraguay, Fabrizio Zanotti, pemain nombor 12 dunia, Henrik Stenson, pemain nombor satu Asia, Gavin Green, jaguh Austria, Bernd Wiesberger dan bekas pemain nombor satu, Lee Westwood.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 7:29 PM