SHUBHANKAR bersama trofi Kejohanan Maybank yang dimenanginya tahun lalu. — FOTO Aizuddin Saad
SHUBHANKAR bersama trofi Kejohanan Maybank yang dimenanginya tahun lalu. — FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran


PEMAIN sensasi golf India, Shubhankar Sharma berharap Kejohanan Maybank yang bermula Khamis ini di Kelab Golf & Country Saujana akan menjadi titik tolak kepada kebangkitannya musim ini selepas memulakan kempen 2019 dengan prestasi mendatar.

Juara bertahan berusia 22 tahun itu berkata, apa yang dilalui musim ini tidak ubah seperti musim lalu apabila dia gagal bermula dengan baik tetapi prestasinya berubah selepas memenangi Kejohanan Maybank.

“Saya akui prestasi awal musim ini tidak begitu baik. Secara jujur sudah tentu saya mahu memulakan kempen musim ini dengan prestasi cemerlang.

“Tapi sukan golf memerlukan sesuatu yang tepat dan sempurna. Perkara kecil kadang-kadang boleh menjejaskan rentak permainan.

“Prestasi saya tidaklah begitu teruk tapi agak mendatar dan saya tidak mendapat keputusan yang dimahukan.

“Sebab itu saya berharap segala-galanya akan bermula dengan baik pada kejohanan ini. Saya melalui situasi sama tahun lalu tapi selepas memenangi Kejohanan Maybank segala-galanya berubah selepas itu,” katanya pada sidang media, hari ini.

Jelas pemenang Senarai Merit Jelajah Asia tahun lalu itu, dia tidak berhasrat untuk mengubah gaya permainannya dalam usaha untuk kembali ke prestasi sebenar.

Kejohanan edisi keempat bernilai AS$3 juta (RM12.2 juta) itu menampilkan pemain ternama dunia antaranya Scott Hend (Australia), David Lipsky (Amerika Syarikat), Thongchai Jaidee (Thailand) serta jaguh golf negara, Gavin Green.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:55 PM