Michelle Gun


Subang Jaya: Pelakon utama drama bersiri Yes Sir Nak Pergi Mana, Azrel Ismail dan Nur Risteena Munim masing-masing berdepan tuntutan saman sebanyak RM1.5 juta daripada syarikat produksi JNI Creative Sdn Bhd kerana melanggar kontrak.

Wakil peguam JNI Creative, Mohd Fadly Hashim berkata, berdasarkan kontrak produksi dengan dua artis terbabit, bayaran gaji sebanyak 20 peratus hanya diberikan selepas selesai penggambaran 15 episod Yes Sir Nak Pergi Mana.

"Bayaran pertama sebanyak 30 peratus sudah dilangsaikan pada hari pertama penggambaran. Namun, mereka hanya berlakon hingga 13 episod sebelum Azrel membuat kenyataan kepada media menuduh JNI Creative gagal membayar tunggakan gaji," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fadly, notis saman sudah dihantar kepada dua pelakon terbabit hari ini dan mereka diberikan tempoh selama dua minggu untuk menjawab tuntutan itu.

"Penggambaran terpaksa ditunda kerana Azrel dan Nur Risteena sudah tidak datang ke lokasi untuk menyelesaikan baki episod. Disebabkan itu, produksi terpaksa menanggung kerugian besar," katanya.

Sementara itu, wakil JNI Creative, Muhibuddin Ahmad berkata, kontrak menyatakan dua artis terbabit akan menerima bayaran mereka dalam empat peringkat.

"Bayaran kali ketiga hanya diberikan selepas Azrel dan Nur Risteena menyelesaikan episod 30 manakala baki terakhir akan dilangsaikan selepas mereka hadir pelancaran serta promosi drama ini," katanya.

Menurut Muhibuddin, Azrel menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp untuk meminta produksi membuat bayaran awal kerana memerlukan wang.

"Produksi bersetuju dan meminta Azril datang untuk berbincang pada 18 April lalu, namun dia mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum pertemuan itu.

"Tindakan Azrel sudah mencemarkan nama baik produksi ini. Tarikh tayangan sepatutnya pada 7 April namun terpaksa ditundakan kerana ada baki 17 episod yang belum siap," katanya.

Minggu lalu, Azrel membuat laporan di Balai Polis Serdang bagi menuntut sebahagian gaji daripada JNI Creative yang didakwanya belum dilunaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 5:58 PM
Wakil Peguam JNI Creative, Mohd Fadly (kiri) dan Muhibbudin Ahmad bersama notis saman. FOTO HM/ASWADI ALIAS
Wakil Peguam JNI Creative, Mohd Fadly (kiri) dan Muhibbudin Ahmad bersama notis saman. FOTO HM/ASWADI ALIAS