AMIRUDIN (tiga, kiri) menyampaikan watikah pelantikan JPKK Kampung Tradisi Negeri Selangor Sesi 2024-2025 kepada JPKK Kampung Sri Taman Baru, Daerah Hulu Langat, Ruzila Anuar, hari ini. FOTO Bernama
AMIRUDIN (tiga, kiri) menyampaikan watikah pelantikan JPKK Kampung Tradisi Negeri Selangor Sesi 2024-2025 kepada JPKK Kampung Sri Taman Baru, Daerah Hulu Langat, Ruzila Anuar, hari ini. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Parlimen pembangkang disaran mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen kerajaan berkenaan usul pindaan Akta Anti Lompat Parti yang didakwa mempunyai kelompongan di Dewan Rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu boleh dibincang berikutan pindaan boleh memanfaatkan kedua-dua pihak.

Katanya, perkara itu (pindaan) harus dikemukakan semula dengan usul dan notis di peringkat Parlimen (Dewan Rakyat) dan lebih baik jika pihak kerajaan yang membawa usul berkenaan.

"Kelompongan dalam akta berkenaan adalah hasil daripada bantahan wakil Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) ketika itu (proses penggubalan akta).

"Hari ini mereka digigit dengan kelompongan yang mereka ciptakan. Saya bukan hendak pulang paku buah keras tapi realiti sejarahnya begitu, tapi kalau rasa ingin meminda, saya cadangkan bawa usul bincang dengan pihak kerajaan, saya yakin pihak kerajaan bersedia untuk berbincang.

"Saya rasa hal ini boleh dibincangkan bersama kerana manfaatnya boleh bawa kepada semua dan usul itu lebih mudah kalau dibawa oleh pihak kerajaan (ke Dewan Rakyat)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Selangor 2024-2025 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 373 Pengerusi JPKK Kampung Tradisi dilantik bagi sesi 2024 hingga 2025.

Amirudin berkata, selepas pelantikan itu selesai, pengerusi JPKK bertanggungjawab melantik ahli Majlis Pembangunan Komuniti (MPKK) dan JPKK.

"Saya maklumkan pada mereka beberapa hal khususnya memahami tanggungjawab pentadbiran bersama Pejabat Tanah disamping melaksanakan kerja rapat dengan pusat khidmat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), penyelaras DUN dan kerajaan negeri supaya kita boleh merangka pelan dan program pembangunan yang sesuai dengan keperluan serta permintaan orang kampung.

"Kejayaan mereka menguruskan kampung dan kawasan halaman akan memberikan impak yang baik dan positif pada imej kerajaan negeri dan sekali gus menjadi salah satu daripada kayu ukur yang menentukan rakyat apabila sampai pilihan raya.

"Sebab itu saya sebut jangan nak buat kerja lambat, kena buat kerja sekarang supaya rakyat selesa dan senang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 5:41 PM