Rashid Sibir
Rashid Sibir
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengarah terkenal, Rashid Sibir tampil dengan cadangan bagi membantu penggiat seni lakon yang kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rashid berkata, dia berharap agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu mereka yang terkesan sekarang.

"Keadaan sekarang adalah semua pekerja produksi perlukan wang dan makanan. Dana Finas banyak tapi penggambaran tak dibenarkan.

"Jadi ada baiknya dana ini dihentikan buat masa ini dan ditukarkan kepada dana bantuan untuk orang seni.

"Finas boleh jadi bank pinjaman pada semua anak seni tanpa faedah dan akan terima bayaran balik apabila produksi sudah buat penggambaran," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rashid, kaedah memerlukan penjamin iaitu penerbit.

"Peminjam (pekerja produksi) mesti melalui penerbit yang akan ambil mereka bekerja. Kadar pinjaman hanya sekitar RM3,000 untuk seorang kru yang cukup untuk sebulan.

"Daripada situ, penerbit akan potong terus dari bayaran dan pulangkan pada Finas.

"Dana filem yang berjuta jumlahnya ditukarkan kepada dana bantuan kemanusiaan dan insya-Allah akan diberkati," katanya.

Rashid menjelaskan Finas tidak perlu bimbang kerana penerbit akan memberi jaminan memulangkan wang terbabit apabila penggambaran dibenarkan semula.

"Untuk kami penerbit nak tolong semua pekerja produksi memanglah tak mampu. Jadi inilah sahaja cara yang ada boleh difikirkan. Inilah masanya semua orang bangun dan bersatu hati tolong sesama sendiri.

"Ini bukan bantuan tapi pinjaman dan kami janji akan bayar balik. Pinjaman antara RM1,000 hingga RM3,000 jadi ramai boleh dapat," katanya.

Rashid berkata, mereka sangat menghargai dan lega sekiranya Finas boleh membantu dalam isu ini.

"Sekurang-kurang wang ini boleh dibelanjakan, bayar bil elektrik dan air serta untuk kegunaan anak-anak sikit.

"Bayaran balik boleh diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Semua kena tolong menolong barulah orang industri boleh hidup.

"Tapi Finas kena jadi bapa tolong anak-anak yang susah. Nak pinjam dari bank memanglah tak dapat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 2:30 PM