Leicester: Atletico Madrid membuktikan mereka cukup gagah untuk menamatkan impian manis Leicester City apabila mengikat juara Liga Perdana Inggeris itu 1-1 semalam sekali gus layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam tempoh empat musim menerusi agregat 2-1.

Jaringan pertama Jamie Vardy dalam saingan Liga Juara-Juara di Stadium King Power memberikan harapan buat Leicester selepas tandukan Saul Niguez (gambar) pada babak pertama membolehkan Atletico mendahului 1-0.

Atletico yang dibimbing Diego Simeone, turun ke Stadium King Power dengan kelebihan 1-0 hasil jaringan Antoine Griezmann di Madrid minggu lalu dan mereka dilihat seolah-olah bakal melangkah mudah apabila Niguez menambah kelebihan pasukannya.

Bagaimanapun, ledakan Vardy pada babak kedua membuatkan penyokong Foxes bersorak riang.

“Saya sangat bangga dengan persembahan pemain saya,” kata Simeone yang pernah dua kali dikecewakan Real Madrid di final Liga Juara-Juara.

“Saya juga perlu memuji persembahan pasukan tuan rumah. Kami boleh dianggap sebagai bertuah kerana dapat bermain menentang mereka.

“Tidak dapat dinafikan, saya sedikit gementar selepas mereka menjaringkan gol.”

Pemain Leicester rebah ke padang selepas wisel penamat ditiupkan apatah lagi peluang untuk mereka bermain di liga elit Eropah itu bukanlah mudah untuk dicapai.

“Rentak perlawanan seakan sudah menjadi milik kami apabila Jamie menjaringkan gol tetapi ia ternyata tidak memadai,” kata jurulatih Craig Shakespeare yang membawa Leicester jauh dari zon penyingkiran Liga Perdana selepas menggantikan Claudio Ranieri, Februari lalu.

“Saya rasa kami semua, penyokong, pemilik dan pemain sudah boleh berbangga dengan pencapaian ini.

Pertahanan Leicester Christian Fuchs turut memuji kelompok besar penyokong mereka dan menganggap sorakan, nyanyian serta laungan itu sedikit sebanyak menghadirkan gentar di hati pemain Atletico. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 5:17 AM