NIGUEZ (dua kanan) ledak gol tunggal perlawanan.
NIGUEZ (dua kanan) ledak gol tunggal perlawanan.
AFP

Madrid: Gerakan solo Saul Niguez yang dilabel sebagai sensasi membolehkan Atletico Madrid menang 1-0 ke atas Bayern Munich pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Vicente Calderon, awal pagi semalam.

Pemain skuad Bawah 21 Tahun Sepanyol itu memperdayakan empat pertahanan Bayern sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gawang pelawat dan membolehkan Atletico melakar kelebihan pada minit ke-11.

Bayern pantas mendominasi perlawanan selepas itu tetapi satu-satunya peluang terbaik yang mereka peroleh ialah menerusi cubaan jarak jauh David Alaba yang bagaimanapun melepasi palang tuan rumah.

Atletico akan bertandang ke Bavaria untuk aksi timbal balik minggu depan dalam usaha untuk layak ke final kedua dalam tempoh tiga tahun selain mahu menebus kekalahan di tangan Bayern pada final 1974.

“Saya sentiasa memandang ke arah pintu gol lawan. Ia gol paling cantik dan penting yang pernah saya jaringkan,” kata Saul.

Berdasarkan rekod, Bayern pernah tewas perlawanan separuh akhir pertama sepanjang dua pertemuan di tangan Real Madrid dan Barcelona sekali gus menyaksikan mereka tersingkir daripada pertandingan itu.

Juara Jerman itu perlu menang selesa pada perlawanan kedua jika jurulatih Pep Guardiola tidak mahu terlepas daripada aksi final Liga Juara-Juara sepanjang tiga tahun bersama Munich sebelum menyertai Manchester City musim depan.

Pengurus Atletico Diego Simeone enggan anak buahnya terbawa-bawa dengan kemenangan itu tambahan pula mereka berjaya menahan asakan lawan di babak kedua.

“Keputusan ini memberikan kami kelebihan apabila bermain di Munich dan kami sedar bukan mudah untuk bertahan di stadium itu,” kata Simeone.

“Babak pertama berlangsung mengikut perancangan kami manakala babak kedua pula memihak kepada lawan.”

Sebelum menjaringkan gol, cubaan jarak jauh Niguez berjaya diselamatkan penjaga gol Bayern Manuel Neuer dan dia tidak membuat sebarang kesilapan selepas mendapat peluang kedua.

Pemain berusia 21 tahun itu menerima bola di tengah padang sebelum menggelecek empat pertahanan Bayern dan melepaskan rembatan lencong dengan kaki kiri sekali gus menceriakan penyokong tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 7:12 AM