AKSI Hisyam bersama Ifa Raziah pada konsert final Gegar Vaganza.
AKSI Hisyam bersama Ifa Raziah pada konsert final Gegar Vaganza.
Syanty Octavia Amry


Memiliki wajah tampan sudah cukup buat pelakon ­Singapura Hisyam Hamid pergi jauh dalam bidang seni selepas dia mencuba nasib membina nama di negara ini sejak setahun lalu.

Namun, aksi aksi 'kurang sopan' bersama Ifa Raziah ketika persembahan penya­nyi itu pada konsert final Gegar Vaganza, Ahad lalu membuatkan namanya menjadi sebutan.

Ekoran aksi berpelukan yang turut membuatkan juri Datuk Rosyam Nor menegur perbuatan itu, Hisyam turut terkena tempiasnya apabila ia dikecam peminat di laman sosial.

Hisyam ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukan semata-mata kerana kerja. Tidak sedikitpun dia berniat mencari kontroversi dengan melakukan perkara yang tidak diingini.

"Semua ini berlaku apabila Ifa sendiri yang menghubungi saya ketika sedang menyaksikan program Maharaja Lawak Mega 2014 baru-baru ini.

"Ifa meminta saya menjadi artis jemputan untuk menyerikan persembahan akhirnya pada konsert Gegar Vaganza.

"Selepas berbincang dengan pengurusan Astro mereka memberi persetujuan dan menyokong kerana ini sebagai salah satu platform untuk saya terus mencipta nama.

"Saya akui memang tidak hadir pada sesi 'rehearsal' namun pada malam sebelum persembahan kami sudah berbincang apa yang akan dilakukan nanti," katanya yang kini berada di Singapura.

Hisyam berkata, dia langsung tidak terfikir keadaan menjadi kecoh dengan aksi yang dilakukan itu kerana dia ikhlas demi kerja dan melakukannya profesional sebagai seorang pelakon.

"Alhamdulillah, isteri dan peminat juga faham apa yang saya lakukan. Pada awalnya bimbang juga, tetapi apabila melihat maklum balas mereka kepada saya ramai yang menerimanya dengan hati terbuka dan tidak mengecam sesuka hati.

"Saya juga sudah melihat Ifa memuat naik permohonan maaf di laman Instagram miliknya. Saya harap semua faham dan memberi peluang kepada saya.

"Pun begitu, saya jadikan pengajaran terhadap apa yang berlaku dan akan lebih berhati-hati lagi pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjaya­nya, drama lakonan Hisyam Cinta Ibadah sedang ­hangat disiarkan di Astro Prima (saluran 105) dan difahamkan drama berkenaan akan disambung lagi episodnya berikutan mendapat maklum balas positif daripada penonton.

Selain itu, Hisyam bakal menyambung semula penggambaran drama 148 episod gandingannya bersama Anzalna Nasir berjudul Memori Cinta Suraya terbitan Global Station.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:01 AM