Hisyam Hamid
Hisyam Hamid
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, 37, yakin tidak perlu 'mengeksploitasi' diri sendiri dengan menayang aset badan hanya untuk menarik perhatian penonton dalam lakonannya.

Hisyam yang muncul dengan drama Kerana Aku Isteri Bidaan di TV3 sebagai watak Farel, seorang bekas banduan berkata, dia sentiasa meletakkan limit dalam lakonan agar tidak terjebak melakukan babak keterlaluan.

"Saya sudah berkahwin dan ada keluarga. Jadi, saya sangat menjaga setiap babak dilakonkan agar tidak keterlaluan. Penonton sekarang pun sudah bijak, jadi tak perlu nak 'belanja lebih' jika babak itu tidak diperlukan.

"Apa-apa pun, saya selalu berbincang dengan pengarah untuk membuat sesuatu babak. Sekiranya memerlukan membuka baju, tak mungkin saya lakukan kerana memang tidak sesuai," katanya ditemui pada sidang media virtual, baru-baru ini.

Menurut bapa dua anak ini, bagi menjayakan watak Farel itu, dia juga sanggup menurunkan berat badan sebanyak 8 kilogram dari 83 kilogram menjadi 75 kilogram untuk kelihatan kurus, termasuk membela misai dan jambang.

"Untuk diet, saya amalkan hanya mengambil makanan berat sekali dalam sehari sejak beberapa bulan lalu serta melakukan senaman untuk mendapatkan fizikal yang kurus.

"Selama dua bulan juga saya buat persediaan untuk melakonkan karakter ini. Saya harap penonton dapat menerima watak Farel dengan baik kerana apa yang dia buat, bersebab," katanya.

Hisyam yang sudah lapan tahun membina kerjaya lakonan di negara ini berkata disebabkan menjaga batas lakonan, isterinya, Rosmawati Hanafi atau Mel, boleh menerima dengan baik dan memahami tuntutan kariernya.

"Perasaan cemburu seorang isteri itu tetap ada, tapi Mel faham. Malah, setakat ini gandingan saya dengan pelakon wanita juga bukan satu masalah sehingga menjadi isu besar dalam rumah tangga kami," katanya.

Hisyam bertemu jodoh dengan Rosmawati pada 2006 dan rumah tangga dibina itu diserikan dengan kehadiran cahaya mata, Nurish Syameliah, 15, dan Hayden, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 11:52 AM