Seoul: Rakan bekas presiden Korea Selatan, Park Geun-hye yang dikaitkan dengan skandal politik negara itu semalam dipenjara tiga tahun kerana menggunakan persahabatannya dengan pemimpin itu untuk memastikan layanan istimewa anaknya di universiti.

Ia keputusan mahkamah pertama terhadap Choi Soon-sil (tengah) yang berdepan pelbagai lagi kes bersama bekas pemimpin itu termasuk rasuah.

Pendakwa mendesak Choi dipenjara tujuh tahun kerana mengganggu perniagaan dan menggunakan pengaruh persahabatan dengan Park itu untuk membantu anak perempuannya di universiti.

Agensi berita Yonhap melaporkan, Mahkamah Daerah Seoul Tengah menerima bukti bahawa Choi bersubahat dengan pegawai kanan institut pengajian untuk memastikan layanan istimewa bagi anaknya di Universiti Wanita Ewha.

Ini termasuk mengubah rekod akademik anaknya, Chung Yoo-ra, 20, walaupun kehadiran kelasnya tidak mencukupi selain sering memplagiat.

Menurut Yonhap, presiden universiti itu juga dipenjara dua tahun.

“Choi melanggar undang-undang dan prosedur untuk memanfaatkan anaknya,” lapor Yonhap.

Choi juga berdepan tuduhan lain termasuk peras ugut, salah guna kuasa dan cubaan menipu untuk memeras wang daripada konglomerat perniagaan besar Korea Selatan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 7:30 AM