BEKAS Presiden Park Geun-hye (tengah) dibawa dengan kereta tempat Pusat Tahanan Seoul awal pagi semalam.  - AFP
BEKAS Presiden Park Geun-hye (tengah) dibawa dengan kereta tempat Pusat Tahanan Seoul awal pagi semalam. - AFP

Seoul: Bekas Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye semalam menghabiskan hari pertamanya dalam penjara selepas sebuah mahkamah mengarahkan dia ditangkap.

Park hanya memandang ke hadapan, dipercayai cuba mengekalkan ketenangannya ketika dia dibawa ke Pusat Tahanan Seoul.

Selepas perbicaraan yang memakan masa lama, sebuah mahkamah di Seoul mengarahkan penahanan bekas presiden itu berkait dengan skandal rasuah.

Pendakwa raya belum membuat tuduhan khusus ke atasnya. Bagaimanapun, mereka sebelum ini berkata, Park disyaki melakukan rasuah, menyalah guna kuasa, pemerasan dan membocorkan rahsia kerajaan.

Keputusan itu menjadikan Park, 65, bekas pemimpin ketiga negara itu ditahan atas tuduhan rasuah.

Dalam satu kenyataannya, Parti Liberal Demokratik yang dijangka menang dalam pilihan raya 9 Mei ini bagi memilih pengganti Park berkata, tindakan menahan Park menunjukkan ‘tidak ada orang yang mengatasi undang-undang.’

Bagaimanapun, parti Park sendiri, Parti Kebebasan Korea yang menukar namanya sebagai cara untuk menjauhkan diri darpadanya, menyifatkan tindakan itu sebagai ‘amat dikesali.’

Kira-kira 50 penyokong bekas presiden itu berkumpul di hadapan pusat tahanan berkenaan apabila Park tiba, sambil mengibarkan bendera dan melaungkan slogan menuntut pembebasannya.

Menurut Undang-Undang Korea Selatan, pendakwa raya mempunyai 20 hari untuk mendakwanya.

Rakan karib Park, Choi Soon-sil yang menjadi tumpuan utama dalam skandal rasuah itu, juga ditahan di pusat itu. Begitu juga pewaris syarikat Samsung, Lee Jay-Yong yang dituduh terbabit dalam skandal itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 7:59 AM