PENYOKONG bekas Presiden Park berdiri di hadapan tembok yang dihiasi bunga ros dan gambar  Park di luar kediaman bekas pemimpin itu di Seoul, semalam. - AFP
PENYOKONG bekas Presiden Park berdiri di hadapan tembok yang dihiasi bunga ros dan gambar Park di luar kediaman bekas pemimpin itu di Seoul, semalam. - AFP
AP

Seoul: Sebuah mahkamah Korea Selatan akan bersidang Khamis ini untuk memutuskan sama ada akan menangkap bekas Presiden Park Geun-hye dan menahannya di penjara selama 20 hari ketika dia disiasat berhubung rasuah dan salah guna kuasa.

Park, 65, ialah pemimpin yang dipilih secara demokratik Korea Selatan yang pertama disingkirkan dari pejabat selepas mahkamah perlembagaan negara itu mengekalkan keputusan Parlimen untuk mendakwanya baru-baru ini.

Dia dituduh bersubahat dengan rakan baiknya, Choi Soon-sil untuk mendesak syarikat besar negara itu menderma kepada dua yayasan yang ditubuhkan bagi menyokong dasar bekas presiden itu.

Ketika mengumumkan langkah untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Park semalam, pejabat pendakwa raya berkata, terdapat alasan untuk mengesyaki Park akan cuba memusnahkan bukti.

Mahkamah Daerah Tengah Seoul berkata, perbicaraan waran tangkap itu akan diadakan pagi Khamis ini.

Park berdepan hukuman penjara lebih 10 tahun jika didapati bersalah menerima rasuah daripada ketua syarikat besar Korea Selatan.

Park yang ketika ini bebas daripada ditahan, disoal siasat selama 14 jam minggu lalu.

Jika mahkamah meluluskan waran tangkap itu, dia akan menjadi bekas presiden ketiga negara itu ditahan sementara siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 7:22 AM