Pasukan menyelamat mengangkat mayat Abu Bakar yang ditemui lemas. FOTO Omar Osman
Pasukan menyelamat mengangkat mayat Abu Bakar yang ditemui lemas. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas empat jam pergi melihat bubu dipasangnya di Sungai Muda, dekat Kampung Jawa, Pinang Tunggal di sini, ditemui lemas tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa, Abu Bakar Udoh, 80, pergi melihat bubu dipasangnya di sungai terbabit sejak dua hari lalu dengan menaiki bot.

Namun, ketika mahu mengangkat bubunya itu, mangsa tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai dan gagal naik semula selepas tersangkut pada pokok kiambang yang banyak menyebabkan dia lemas.

Komander Operasi Balai Bomba Tikam Batu, Penguasa Bomba Kanan 1, Yaakob Ishak, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10 pagi lalu bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera dan ambulans pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) serta enam anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Katanya, sebaik tiba lokasi pihaknya diberitahu seorang lelaki warga emas terjatuh dari perahu ke dalam Sungai Muda ketika mahu melihat bubu ikan yang dipasangnya.

“Operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan oleh anggota PPDA bagi mencari mangsa di lokasi yang dimaklumkan dengan dibantu dua bot penduduk kampung.

“Kira-kira jam 12.50 tengah hari mayat mangsa ditemui di dalam air dan tersangkut di bawah timbunan pokok kiambang tidak jauh dari lokasi dia jatuh.

“Mayat mangsa dibawa ke darat dan diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 4:47 PM