ANGGOTA bomba sedang mencari Muhammad Affandi (gambar kecil) yang dikhuatiri lemas terjatuh di Empangan Sungai Terip, semalam. FOTO Adzlan Sidek
ANGGOTA bomba sedang mencari Muhammad Affandi (gambar kecil) yang dikhuatiri lemas terjatuh di Empangan Sungai Terip, semalam. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI lelaki dikhuatiri lemas dihanyutkan arus selepas terjatuh ketika memancing di Empangan Sungai Terip, Seremban, 5.30 petang semalam.

Muhammad Affandi Yusoff, 25, dikatakan turun ke sungai berkenaan untuk menarik tali pancing yang tersangkut sebelum dihanyutkan arus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.03 petang daripada rakan mangsa selepas usaha menyelamatkannya gagal.

“Rakan mangsa mendakwa dia hampir lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa. Berikutan itu, dia segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan sebaik pasukan tiba di lokasi, tetapi mangsa tidak temui. Operasi terpaksa ditangguhkan jam 12.30 tengah malam kerana keadaan cuaca gelap dan disambung semula jam 7 pagi ini,” katanya.

Beliau berkata, operasi pencarian turut mendapat kerjasama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Setakat jam 5 petang hari ini, operasi pencarian masih diteruskan di sekitar lokasi mangsa dikatakan lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:02 PM