WARGA emas ditemui lemas dipercayai terjatuh ketika menjala di rumah pam air di Rawang. FOTO Ihsan JBPM Selangor
WARGA emas ditemui lemas dipercayai terjatuh ketika menjala di rumah pam air di Rawang. FOTO Ihsan JBPM Selangor
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Seorang lelaki warga emas ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan berdekatan rumah pam air di Rawang, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Rodzi Md Noor, 60-an ditemui pada jam 7.10 malam tadi, kira-kira 40 meter dari tempat dia disyaki terjatuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 2 petang hari ini.

Katanya, mangsa difahamkan keluar menjala semalam dan tidak pulang selepas itu.

"Anaknya kemudian melaporkan kepada bomba kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan memandangkan kenderaan mangsa masih berada di lokasi.

"Susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentosa dengan bantuan Unit Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi.

"Pencarian segera dilaksanakan sebelum mangsa ditemui dengan tangan tersangkut pada jala kira-kira 40 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 9:15 PM