ANGGOTA PPDA menemukan mayat lelaki yang lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Macau, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan BOMBA
ANGGOTA PPDA menemukan mayat lelaki yang lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Air Terjun Lata Macau, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kegembiraan empat sekawan mandi di Air Terjun Lata Macau, Kuala Kubu Bharu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.

Mayat Low Yu Jing, 26, ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 5.09 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada 10.59 pagi.

Katanya, sepasukan 15 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan BBP Bukit Sentosa serta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan turut dibantu 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

"Menurut laporan awal, kejadian membabitkan seorang lelaki lemas ketika mandi bersama tiga rakannya.

"Mangsa kemudian berjaya ditemui pada dasar sungai oleh pasukan PPDA. Jarak dia ditemui dari lokasi lemas dalam lingkungan kira-kira 50 meter," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Norazam berkata, ketika ini kerja-kerja membawa mayat mangsa ke Pusat Kawalan Bencana (PKB) Kampung Orang Asli Pertak sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 6:38 PM