SALLEH menyampaikan anugerah Bintang Legenda kepada Mat Sentol sambil diperhatikan Fauzi (kiri sekali), Khusairi, Jurey dan Aziz.
SALLEH menyampaikan anugerah Bintang Legenda kepada Mat Sentol sambil diperhatikan Fauzi (kiri sekali), Khusairi, Jurey dan Aziz.
Adam Salleh

“Ku ingin jadi spy, oh spy

mengintip semua rahsia

pistolku panjang melempai

aku tembak siapa salah

ku bukan spy sebarang

pandai silat dan karate

kalaulah musuh datang menyerang

kucucuk macam sate

Kapowwwwww

Oh badmad, oh superman,
kubuat kawan main (main saja)

dangerman, oh ultraman there are all my friend

dia jadi spy bond (oh boy)

aku jadi spy Mat Bond

orang panggil aku bond bond

aku jawab bond bond bond bond”

Lagu dipetik daripada filem Mat Bond itu, automatik mengingatkan kita pada Mat Sentol. Kreativiti Mat Sentol memintas populariti filem ala perisikan terkenal dunia jelas jika Ian Fleming berjaya mencipta watak ejen perisik British, James Bond kemudian diadaptasi
ke filem oleh Albert R Broccoli dan Harry Saltzman melalui Dr No lakonan Sean Connery pada 1961; Malay Film Productions (Shaw Brothers) dengan Jefri Zain (Jins Shamsuddin), Shaw Scope pula dengan Nora Zain (Saadiah), Mat Sentol melalui Cathay Keris Filem pula mencelah dengan Mat Bond (1967).

Judulnya saja berbaur humor, tetapi tetap ada kuasa komersial kerana pastinya peminat filem tempatan ketika itu teruja membuat perbandingan. Kalaupun Mat Bond itu tidak sehebat James Bond 007, memadailah ia lebih dramatik daripada Jefri Zain atau Nora Zain. Dan sememangnya Mat Bond ada tarikan, hinggakan perkataan ‘kapowwww’ yang dipekik Mat Bond dalam filem itu, dijadikan judul filem Kapowww arahan Azizi ‘chunck’ Adnan, terbitan Tayangan Unggul, dilakonkan Zizan, Awie, Lisa Surihani, Aflin Shauki, Rosnah Mat Aris dan Bell Ngasri pada 2010.

Lama benar kita tidak mendengar perihal Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya. Minggu lalu, sebaik mendapat undangan daripada Datuk Jurey Latiff Rosli selaku Pengerusi Gabungan Industri Kreatif Malaysia/CGICM mengenai Program Kajian Insan Khazanah Seni Negara membicarakan Mat Sentol di Finas, Hulu Klang, hati berkobar-kobar untuk turut serta.

Bagaimanapun, kekangan tugas dan kesihatan kurang mengizinkan, tidak dapat menghadirkan diri. Namun itu tidak menjadi alasan untuk tidak mengucapkan syabas kepada Jurey dan CGICM di atas inisiatif menghargai insan seni hebat seperti Mat Sentol, di kala kita asyik disogokkan dengan ‘pak lawak mi segera’ yang dilahirkan daripada pelbagai program realiti televisyen.

Selepas Mat Sentol, beberapa nama artis veteran antaranya Datuk Maria Menado, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Ahmad Nawab dan Wahid Sate bakal diundang menjayakan Program Kajian Insan Khazanah Seni Negara. Program tempoh hari lebih bermakna dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang menyampaikan anugerah Bintang Legenda pada Mat Sentol. Turut hadir Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib; Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob, sementara Aziz M Osman selaku moderator.

Orang kreatif seperti Mat Sentol yang banyak mencurah keringat di arena seni hakikatnya sarat dengan emosi. Emosi yang ada kala diekspresi seperti diri tidak dihargai. Justeru berhati-hati bertanya takut terkena pulang paku buah keras, umpamanya pada majlis tempoh hari Mat Sentol bagai menyindir “Saya buat filem awak tak tengok, saya tak buat filem awak tanya.”

Dalam usia 91 tahun Mat Sentol masih bersama kita, ia sesuatu yang berharga untuk pengkaji filem mendampingi dan mengutip ilmu berharga daripada beliau. Terlanjur hayat beliau ada, kita tidak pernah terdengar adanya inisiatif untuk mendokumentasikan riwayat Mat Sentol ini. Kita memang sukar mahu membukukan kisah pelawak kerana bimbang tiada orang membelinya, tetapi berbeza ketika penulis berkunjung ke Hollywood suatu ketika dulu buku pelawak wanita terkenal, Lucille Ball ( 6 0gos 1911 - 26 April 1989) merata-rata dijual.

Di sisi lain penghargaan diberi pada Mat Sentol tempoh hari seperti tidak berbaloi andai mengukur sumbangan besar beliau memeriahkan dunia perfileman tanah air. Berasal dari Muar, Johor, Mat Sentol boleh dikategorikan insan seni unik kerana dapat memanfaatkan pelbagai cabang seni daripada pelukis, pelakon, penyanyi, penulis skrip, pengarah, pencipta lagu dan lirik, boleh dikatakan semua filem arahannya, Mat Sentol sendirilah bertindak selalu pengarah seni dengan penggunaan kesan khas walau teknologi ketika itu agak terbatas.

Sekadar berkongsi informasi, pertengahan 1980-an penulis memerhatikan gelagat ayahanda (Salleh Ghani) sambil bersila menggeluarkan pelbagai barangan lama dalam almari antikya. Ada beberapa keping gambar ‘skech’ pakaian ala tentera, lalu diperjelaskan ayahanda, “ini gambar baju soldadu Portugis. Mat Sentol yang lukis baju-baju ini semua.”

Bagi mereka yang menonton filem Tun Fatimah arahan ketiga Salleh Ghani di Cathay Keris Filem, Singapura, baju soldadu Portugis yang dipakai Ahmad Nesfu, Rahim Hamid, Raja Ismail dan Mat Sentol sendiri, pakaian itu direka oleh Mat Sentol. Begitulah istimewanya Mat Sentol, usahkan filem komedi, filem sejarah turut menggunakan kreativitinya.

Tidak adil jika membandingkan Mat Sentol dengan Tan Sri P Ramlee kerana Seniman Agung itu ada kelas tersendiri, tetapi jika di Barat tidak mustahil Mat Sentol lebih dihargai setanding Austin Powers. Menonton pelbagai filem arahan dan lakonan Mat Sentol seperti Mat Tiga Suku (1964), Tiga Botak (1965), Mat Raja Kapur (1967), Mat Lanun (1968), Mat Tenggek (1979) dan lain-lain kita akan dapati pelbagai reaksi netizen ada yang kata ‘masuk air’, ‘sengal’ namun rata-rata memuji dan terhibur dengan aksi lawak spontan Mat Sentol yang tidak dijangkau akal.

Barangkali Jurey atau Persatuan Seniman Malaysia diterajui Zed Zaidi, bahkan Finas pun boleh memain peranan rekomenkan nama Mat Sentol bagi dianugerahi pengiktirafan lebih terpuji. Jika aktor Shah Rukh Khan dan Jackie Chan malah penyanyi Rossa pun boleh berstatus Datuk, inikan pula Mat Sentol insan seni yang lebih dekat dengan jiwa kita.

Kalau tidak pun, Jurey atau Zed boleh ajukan kepada menteri, cukup-cukuplah slot Teater Lagenda di TV2 setiap Isnin, jam 10 malam, asyik menayangkan filem arahan dan lakonan P Ramlee bertahun-tahun, sampai naik jelak, berilah peluang karyawan seni lain seperti Mat Sentol kerana mereka juga turut menabur jasa di persada seni tanah air.

Penulis Pengarang

Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 4:20 AM