Mat Sentol (kiri) bersama Annuar (kanan). FOTO OMAR AHMAD
Mat Sentol (kiri) bersama Annuar (kanan). FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Biarpun umurnya sudah 89 tahun, pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol tiada masalah menjalani ibadah puasa pada Ramadan kali ini.

Mat Sentol atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Yahya berkata, beliau bersyukur kerana masih diberikan kesihatan yang baik bagi menunaikan puasa tahun ini.

"Setiap hari saya bangun sahur, tiada masalah untuk bangun pagi kerana memang tidak menolak apabila diberikan makan.

"Makanan kegemaran saya adalah mi Siam Singapura, cuma saya masih belum berpeluang untuk makan mi itu sepanjang bulan puasa ini.

"Kesihatan saya masih baik dan tiada sebarang penyakit yang berbahaya cuma kadang-kdang mudah terasa penat kerana faktor usia," katanya ditemui di kediamannya ketika menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Jalan Rajawali, Larkin, di sini hari ini.

Annuar meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah-mesra dengan anak kelahiran Muar itu yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Tidak lekang dengan senyuman dan gaya yang menghiburkan, Mat Sentol mengakui masih lagi menulis skrip bagi mengisi masa terluang.

"Saya masih lagi menulis skrip apabila ada masa terluang, cuma sudah tidak sekerap dahulu. Selain itu saya juga bersedia terima undangan untuk berlakon sekiranya ada mana-mana pihak berminat.

"Tapi janganlah beri watak serius kerana sejak kecil lagi saya dah biasa buat orang ketawa, jadi watak seperti itu sudah sebati dengan jiwa," katanya yang turut berharap industri perfileman negara terus maju.

Sementara itu, Annuar Musa berkata aspirasi perjalanan hasil karya Mat Sentol harus dijadikan aset dan panduan kepada generasi muda.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) agar mengambil langkah tertentu untuk meletakkan kedudukan seniman negara itu di tempat yang sepatutnya.

"Mat Sentol adalah legenda hidup dan wira tidak didendang yang harus kita hargai. Dengan adanya sambutan Hari Seniman setiap 22 Mac, kita harap seniman-seniman seperti Mat Sentol ini dikenang dan dihargai," katanya yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan juga pakaian kepada seniman itu.

Dalam pada itu, anak lelaki Mat Sentol, Roslee Rashid, 60, pula memberitahu, tidak sukar untuk menjaga bapanya.

Katanya banyak aktiviti harian bapa masih boleh dilakukan sendiri, kecuali menyediakan makanan dan membawanya keluar sekiranya ada keperluan.

"Pada Ramadan ini, sudah beberapa kali saya membawanya ke bazar Ramadan, tetapi saya minta dia tunggu di dalam kereta sementara saya yang keluar membelikan juadah yang dimahukan.

"Ini kerana kebiasaannya apabila orang nampak dia, mereka akan mahu bergambar dan bersalaman, malah bazar Ramadan sentiasa penuh dan ramai orang.

"Saya berbuat demikian kerana bimbang kesihatannya, saya ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 3:07 PM