(Dari kiri) Jurey bersalaman dengan Kamil bersama Presiden Persatuan Penerbit Filem, Datuk Yusof Haslam. FOTO NSTP/SHIRAZ ALI
(Dari kiri) Jurey bersalaman dengan Kamil bersama Presiden Persatuan Penerbit Filem, Datuk Yusof Haslam. FOTO NSTP/SHIRAZ ALI
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Cukup-cukuplah. Saya dan pihak Finas sudah berdamai malah banyak pengajaran saya dapat menerusi insiden ini,” kata Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Jurey Latiff Rosli.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media maklum balas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan GAFIM berikutan isu surat rasmi dihantarnya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, baru-baru ini.

Menurut Jurey, dia bertindak menghantar surat rasmi kepada KKMM kerana mewakili industri dan tidak berniat menjatuhkan FINAS, jauh sekali menentang ketua pengarah perbadanan itu, Datuk Kamil Othman.

"Saya hanya mewakili seluruh industri dan persatuan menyuarakan beberapa isu. Tiada niat menentang FINAS mahu pun Kamil kerana setiap komen yang saya beri sepanjang berada dalam industri adalah konsisten.

"Mungkin tindakan saya menghantar surat kepada menteri dianggap terlalu agresif sehinggakan ada yang salah sangka.

“Saya dituduh mahukan posisi di dalam Finas dan sebagainya, namun semua itu tidak benar,” katanya kesal.

Ditanya mengenai lima persatuan meninggalkan Gafim sebagai tanda protes terhadap tindakannya, Jurey menghormati keputusan itu.

"Saya menghantar surat itu selepas mengadakan mesyuarat bersama ahli gabungan. Setiap gabungan atau persatuan ada perlembagaan tersendiri. Jadi, saya hanya bertindak selaku wakil Gafim.

"Mengenai tindakan lima persatuan keluar daripada Gafim, saya menghormati keputusan mereka. Buat masa ini, masih ada tujuh persatuan yang menyokong dan bergelar ahli iaitu Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PPTM), Persatuan Artis Pelapis Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Penghibur-penghibur India Malaysia (Miewa), Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar) dan Persatuan Penulis Skrip Malaysia (CGM)," katanya yang berhasrat melepaskan jawatan yang disandang.

Sementara itu Kamil menyifatkan kemelut yang berlaku sebagai salah faham dan tindakannya membawa Finas ke satu tahap lebih tinggi turut disalah erti.

"Ada sesetengah tindakan saya terlalu laju walhal ia bertujuan membawa tranformasi baru dalam Finas dan ini tanggungjawab kami sebagai agensi kerajaan.

"Mungkin dari situ ada pihak yang tersinggung lebih-lebih lagi dengan visi baru FINAS yang berbeza berbanding pengurusan terdahulu. Bagaimanapun, Finas memandang serius isu yang disuarakan Jurey dan kami akan pertimbangkan demi kemajuan industri seni tempatan,” katanya.

Kamil juga berharap dengan wujudnya kesefahaman di antara Finas dan Gafim, isu itu dapat memberi manfaat kepada ekosistem industri.

"Apa yang menjadi keutamaan adalah industri perfileman tanah air, bukan mana-mana individu. Kalau boleh saya mahu industri perfileman kita menjadi salah satu sektor yang menjana ekonomi negara dan bukan sekadar untuk hiburan semata-mata,” katanya lagi.

Turut hadir ke sesi sidang media yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Komplek FINAS, Hulu Kelang tadi adalah adalah Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Yusof Haslam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:29 PM