LEE Chong Wei.
LEE Chong Wei.
Ferzalfie Fauzi

Kuching: Seperti dijangka jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menumpaskan Rajiv Ouseph dari England di Stadium Perpaduan, Petra Jaya semalam.

Chong Wei yang mencatat kemenangan 21-16, 21-18 turut terkejut dengan kehadiran ribuan penyokong di stadium walaupun baru pusingan pertama.

“Saya sudah memberikan permainan terbaik, terutama di set kedua apabila dia di depan dengan sangat jauh. Saya harap pusingan kedua nanti dapat memberikan persembahan lebih baik. Beraksi di tempat sendiri bukan mudah kerana ada pemain yang tertekan dan ada berasa seronok,” katanya selepas perlawanan tamat.

Chong Wei menegaskan dia hanya fokus kepada permainan sendiri dan bersedia berdepan lawan di pusingan kedua nanti walaupun belum 100 peratus sembuh dari kecederaan ligamen lutut kiri.

“Saya tidak berasa apa-apa (di bahagian lutut) dan seakan lupa dengan kecederaan ini selepas memberi fokus kepada permainan. Apa yang penting sudah cuba yang terbaik di laman sendiri dan dibantu dengan kehadiran ribuan penonton.

“Kali pertama saya lihat ramai penyokong seperti hari ini (semalam) kerana selalunya pusingan pertama tidak seramai ini. Ini sangat bagus kerana secara tidak langsung mempromosikan badminton di Sarawak serta menanam minat buat kanak-kanak di sini,” katanya.

Menanti Chong Wei di pusingan kedua ialah Hu Yun dari Hong Kong yang menumpaskan Anders Antonsen (Denmark) 21-17, 19-21, 21-10.

Bagaimanapun, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren terkandas apabila tumpas kepada pilihan keempat dari Denmark, Viktor Axelsen 12-21, 13-21.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, Goh Jin Wei mara ke pusingan kedua selepas menundukkan Yulia Yosephin Susanto (Indonesia) 21-15, 20-22, 21-17 dan akan berdepan Chen Yufei dari China hari ini.

Dua lagi wakil perseorangan wanita negara, Soniia Cheah dan Lim Yin Fun gagal meneruskan kemaraan apabila kalah kepada lawan masing-masing.

Soniia tumpas kepada pilihan kelima dari China, Sun Yu 11-21, 20-22, manakala Yin Fun kalah di tangan Pai Yu Po (Taiwan) 21-16, 16-21, 16-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:16 AM