SZE Fei dan Izzuddin akan menentang beregu Taiwan esok.
SZE Fei dan Izzuddin akan menentang beregu Taiwan esok.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu nombor dua negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang dua set seterusnya sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir esok pada Terbuka Indonesia.

Dalam perlawanan pusingan kedua hari ini, pasangan negara itu dipaksa bekerja keras menewaskan wakil tuan rumah, Leo Rolly Carnando- Daniel Marthin dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-16, 21-12.

Permainan ditunjukkan Sze Fei-Izzuddin sangat baik dan teratur dalam menyusun strategi bagi mendapatkan mata demi mata terutama di set kedua dan ketiga apabila tidak membenarkan lawan mendahului mereka langsung.

Di suku akhir esok, pasangan negara itu dijangka berhadapan tugas sukar apabila bertemu sama ada beregu berpengalaman tuan rumah, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan atau beregu nombor dua dunia dari China, Liang Wi Keng-Wang Chang.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan rentak cemerlang apabila turut berjaya mara ke suku akhir Terbuka Indonesia esok.

Dalam perlawanan itu, We Chong-Kai Wun terpaksa hempas pulas untuk menewaskan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer- Frederik Sogaard dalam pertarungan tiga set 21-18, 19-21, 21-12 dalam masa 61 minit.

Masih segar dengan kejayaan menundukkan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 20-22, 21-16, 21-17 di pusingan pertama pada Selasa lalu, beregu negara terus mempamerkan permainan konsisten dan berjaya mengelak kesilapan terlalu banyak di dalam gelanggang.

Itu pertemuan kali ketiga kedua-dua pasangan dengan wakil negara itu menang dua kali berbanding lawan mereka.

Di suku akhir esok, We Chong-Kai Wun akan bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han yang turut mara selepas menewaskan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-16, 21-14 dan itu peluang terbaik untuk menebus kembali kekalahan Malaysia di tanggan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 5:24 PM