DATUK Lee Chong Wei akan membuat perhitungan dengan K Srikanth di suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China esok. - Foto Yazit Razali
DATUK Lee Chong Wei akan membuat perhitungan dengan K Srikanth di suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China esok. - Foto Yazit Razali
Ferzalfie Fauzi


JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei akan membuat perhitungan dengan K Srikanth di suku akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China esok - pertembungan ketiga kedua-dua pemain itu dalam tempoh 12 hari sejak Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Pertembungan antara kedua-dua pemain itu berjaya direalisasikan selepas masing-masing melepasi halangan pusingan kedua dengan Chong Wei terpaksa bangkit sebelum menjinakkan wakil Indonesia, Anthony Ginting 16-21, 21-9, 21-11 dalam tempoh satu jam.

Bagaimanapun, Srikanth dari India dan menduduki ranking kelima dunia itu tidak perlu banyak mengeluarkan peluh apabila lawannya dari Hong Kong, Vincent Wong menarik diri akibat kecederaan ketika ketinggalan 7-2 di set pertama.

Pertembungan kedua-dua pemain itu pasti menarik selepas pertemuan di Sukan Komanwel Gold Coast terikat 1-1, dengan Srikanth menewaskan Chong Wei dalam acara final berpasukan campuran sebelum jaguh perseorangan negara yang menduduki ranking ketujuh dunia itu bangkit menebusnya ketika final acara perseorangan.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tumpas kepada Berry Angriawan-Hardianto Hardianto di suku akhir Terbuka Singapura, tahun lalu berjaya menebus kekalahan itu apabila menang 21-16, 21-18 dalam masa 35 minit. 

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan kelapan bakal berdepan Takeshi Kamura-Keigo Sonoda di suku akhir, selepas gandingan Jepun itu berjaya mengalahkan wakil tuan rumah, He Jiting-Tan Qiang 21-16, 21-17. 

Kali terakhir beregu lelaki negara meraih kejuaraan melalui Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2006 dan 2007. 

Bagaimanapun, perjalanan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terhenti apabila tewas 16-21, 24-26 kepada Ricky Karandasuwardi-Debby Susanto dari Indonesia. 

Nasib sama turut menimpa beregu wanita negara, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi selepas tersungkur di tangan pilihan kelapan dari China, Du Yue-Li Yinhui 18-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:08 AM