Kuala Lumpur: Masih bertenaga. Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak menghadapi masalah memenangi pusingan pertama Siri Super Terbuka Hong Kong apabila mengalahkan pemain Indonesia Tommy Sugiarto semalam.

Chong Wei yang baru merangkul gelaran sulung Siri Super Perdana Terbuka China Ahad lalu mengambil 40 minit mengalahkan pemain pilihan kelapan itu dengan kemenangan straight set, 21-16, 21-15.

Kemenangan berkenaan sedikit sebanyak menyangkal kerisauan jurulatih perseorangan negara, Hendrawan mengenai tahap kecergasan Chong Wei apabila minggu lalu terpaksa berdepan musuh tradisi, Lin Dan (separuh akhir) dan Chen Long (akhir) Terbuka China.

Menanti Chong Wei di pusingan kedua hari ini pemain Jerman Marc Zwiebler yang sebelum itu mengalahkan wakil Perancis Brice Leverdez 21-17, 21-19.

Jika memenangi pusingan kedua, bekas pemain nombor satu dunia itu sekali lagi dijangka bertemu Chen Long dengan syarat pilihan pertama kejohanan itu mampu melepasi halangan Boonsak Ponsana (Thailand) pada pusingan kedua.

Semalam Chen Long tidak berdepan masalah mengalahkan Ajaya Jayaram pada pusingan pertama selepas menang 21-17, 21-12.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng turut ke pusingan kedua selepas mengalahkan Hu Yun (Hong Kong) 21-17, 12-21, 21-15.

Menantinya pada pusingan kedua Wang Zhengming dari China yang sebelum itu mengalahkan Jan O Jorgensen (Denmark) 21-15, 21-19.

Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi gagal mara ke pusingan seterusnya apabila kalah 14-21, 19-21 kepada Yip Puin Yin dari Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 7:47 AM