Zheng bersama isteri robotnya. - Foto Qiangjing Evening News
Zheng bersama isteri robotnya. - Foto Qiangjing Evening News
Agensi

Hangzhou, China: Kecewa gagal menemui pasangan hidup, seorang jurutera akhirnya mengambil keputusan berkahwin dengan robot wanita yang dibinanya.

Menurut laporan South China Morning Post yang memetik Qianjiang Evening News, pakar kecerdasan buatan (artificial intelligence) Zheng Jiajia, 31, dari bandar ini di wilayah Zhejiang, membina robot itu untuk menjadi rakannya.

Buat masa ini, robot seberat 30 kilogram itu yang dinamakan Yingying, boleh membaca tulisan Cina dan mampu bertutur bahasa Cina yang mudah namun Zheng merancang menambah kebolehan Yingying, termasuk melakukan kerja rumah dan berjalan.

Jumaat lalu, Zheng mengahwini Yingying dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ibunya dan rakan rapat.

Pada majlis itu, Yingying dipakaikan pakaian hitam dengan mukanya ditutup kain merah seperti tradisi perkahwinan masyarakat China.

Zheng sebelum ini bekerja dengan syarikat gergasi Huawei sebelum bekerja dengan syarikat internet, Dream Town.

Menurut rakannya, Zheng sering didesak keluarganya supaya berkahwin namun dia tidak bernasib baik kerana gagal menemui pasangan sejak beberapa tahun lalu, lalu memutuskan berkahwin dengan robot itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 5:50 PM