BEREGU campuran China, Wang Yilyu (kiri) dan Huang Dongping menang emas selepas menewaskan rakan senegara di final di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
BEREGU campuran China, Wang Yilyu (kiri) dan Huang Dongping menang emas selepas menewaskan rakan senegara di final di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Gandingan China, Wang Yilyu dan Huang Dongping mencipta kejutan apabila menang emas badminton beregu campuran di Tokyo 2020, hari ini, selepas mencipta kemenangan jarang berlaku ke atas rakan senegara, Zheng Siwei dan Huang Yaqiong.

Kedua-dua pasangan itu sudah bertarung 15 kali sebelum final di Tokyo 2020 dengan Zheng dan Huang – juara dunia dua kali dan kini berstatus pemain nombor satu dunia - menang 13 kali.

Bagaimanapun, Wang dan Huang mencipta kejutan pada perlawanan sengit hari ini sebelum menang 21-17, 17-21, 21-19 untuk merangkul emas.

"Fikiran saya kosong selepas mata terakhir, masih rasa belum percaya sehingga kini," kata Wang.

"Saya beritahu diri sendiri, 'jika mahu menang pingat emas, saya mesti menang ke atas diri sendiri dahulu'."

Kemenangan itu memberikan emas keempat acara beregu campuran buat China di Sukan Olimpik, selepas gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Natsir menang emas di Rio 2016.

Tetapi, Wang dan Huang perlu melalui perlawanan akhir yang sengit dan mendebarkan sebelum memenanginya.

"Ia adalah perlawanan hebat dan semua orang berada pada tahap terbaik daripada segi mental, fizikal dan taktik," kata Huang.

"Kami menang set pertama dan mereka menang set kedua, kami cuba meneka apa yang berlegar di fikiran masing-masing."

Zheng dan Huang tampil ke Tokyo 2020 sebagai pasangan pilihan, tetapi mereka tidak mampu menyerlah pada saat memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 9:01 PM