ZHENG berkongsi imej dirinya di platform Xiaohongshu selepas dia mendapat tempat untuk belajar muzik di Universiti Normal China Timur. FOTO Agensi.
ZHENG berkongsi imej dirinya di platform Xiaohongshu selepas dia mendapat tempat untuk belajar muzik di Universiti Normal China Timur. FOTO Agensi.
Agensi

Beijing: Keterujaan seorang wanita berkongsi gambar di media sosial selepas dapat memasuki universiti berakhir dengan kematian apabila menjadi mangsa buli siber.

Enam bulan lalu, Zheng Linghua, 23, itu berkongsi imej dirinya di platform Xiaohongshu dengan rambut merah jambu dan kelihatan teruja mengumumkan kepada dunia dia mendapat tempat untuk belajar muzik di Universiti Normal China Timur.

BBC melaporkan, tetapi kegembiraannya tidak lama apabila beberapa hari selepas itu, dia menjadi sasaran buli dalam talian.

Gambarnya dikongsi dengan keterangan palsu dan menghina.

Dia kemudian menjadi sasaran ejekan tanpa henti dengan beberapa orang memanggilnya 'gadis kelab malam' dan 'roh jahat'.

Tidak jelas bagaimana Zheng meninggal dunia tetapi pada bulan lalu seorang rakannya menyampaikan berita sedih itu dalam platform Xiaohongshu.

"Kerana membuli dalam talian dan di sekolah, nyawa Zheng Linghua berakhir pada 23 Januari 2023," tulisnya.

Walaupun buli siber berlaku di mana-mana, budaya kolektivis China dan kekurangan tekanan ke atas syarikat media sosial untuk menghapuskan penyalahgunaan memberi fenomena momentum tertentu.

Tinjauan lebih 2,000 pengguna media sosial di China mendapati, kira-kira empat daripada 10 responden mengalami beberapa bentuk penyalahgunaan dalam talian.

Ia juga mendapati 16 peratus daripada mangsa mempunyai pemikiran untuk membunuh diri.

Hampir separuh mempunyai insomnia dan 32 peratus kemurungan.

Zheng pada mulanya mempunyai rancangan untuk berdepan dengan pendera dalam taliannya dengan tindakan undang-undang, salah satu siaran Weibonya pada September lalu mengenai "bagaimana untuk menyaman orang yang menyerang anda secara gila dari belakang skrin?".

Tetapi dia kemudiannya didiagnosis dan diberi ubat untuk kemurungan yang didedahkan di media sosialnya, berkongsi butiran mengenai bagaimana dia melawan gangguan tidur dan makan.

Pada November, dia berkongsi gambar dirinya di wad hospital dengan keterangan: "secara aktif melawan kemurungan".

Kematiannya hanyalah satu daripada rentetan kematian yang dikaitkan dengan buli dalam talian di China.

Pada Januari 2022, Liu Xuezhou dari bandar Xingtai membunuh diri selepas pertemuan semula dengan ibu bapa kandungnya bertukar ngeri.

Ketika pertengkaran mereka dimainkan dalam talian, beberapa orang menuduhnya mementingkan diri sendiri.

Remaja berusia 17 tahun itu, yang menjadi yatim piatu pada usia empat tahun meninggalkan nota yang memperincikan pengalaman lalunya dengan buli dan kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:10 PM