PEMAIN bola keranjang wanita China meraikan kejayaan menumpaskan Jepun. FOTO AFP
PEMAIN bola keranjang wanita China meraikan kejayaan menumpaskan Jepun. FOTO AFP
AFP

Hangzhou: Jurulatih bola keranjang wanita China, Zheng Wei berkata melakukan aksi yang sudah biasa dilakukan adalah kunci utama selepas tuan rumah mengekalkan kejuaraan di Sukan Asia dengan kemenangan mendebarkan 74-72 ke atas seteru lama, Jepun.

China mendahului di awal perlawanan dengan jumlah mata yang besar dan nampaknya seperti sudah sebelah kaki meraih emas di Hangzhou sebelum Jepun bangkit dan mengikatkan kedudukan di lewat permainan.

Penyokong yang membanjiri stadium mula resah apabila pemenang pingat perak Olimpik, Jepun mula mengubah rentak permainan, tetapi China menahan dengan penuh berani dan Wang Siyu membenamkan mata kemenangan ketika berbaki beberapa saat.

Zheng berkata beliau tahu dari pengalaman bahawa Jepun tidak akan menyerah kalah sehingga buzzer akhir dibunyikan.

"Kami bermain menentang Jepun banyak kali dan jarang sekali salah satu pasukan mendahului dengan kelebihan yang besar," katanya.

"Kami sedikit tergesa-gesa pada separuh masa kedua - kami mempunyai beberapa penggantian dan pemain menjadi sedikit keletihan, tetapi kami tetap dengan pelan permainan kami.

Skuad bola keranjang wanita China memberi tonik kepada penyokong tuan rumah 24 jam selepas pasukan lelaki mereka tersingkir di separuh akhir dengan kekalahan kepada Filipina.

Satu lagi bencana kelihatan seperti ia mungkin akan berlaku apabila Jepun menyamakan kedudukan buat kali pertama dengan hanya kurang tiga minit sebelum aksi tamat.

Lontaran tiga mata yang daripada Li Yuan melonjakkan China di hadapan sebelum Wang menyelesaikannya dengan lay-up pada serangan terakhir.

"Kami mempunyai persiapan yang baik dan kami tahu bahawa Jepun sangat sukar dan berdaya tahan, tetapi kami yakin dan itulah sebabnya kami memenangi perlawanan itu," kata Li.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 11:42 AM