MODEL menunjukkan telefon pintar Xiaomi Redmi Note 4G.
MODEL menunjukkan telefon pintar Xiaomi Redmi Note 4G.

Kuala Lumpur: YTL Communications Sdn Bhd (YTL) melalui jenama rangkaian perkhidmatan Internet 4G, Yes mengumumkan tawaran telefon pintar percuma model Xiaomi Redmi Note 4G berharga pasaran RM589 apabila melanggan pakej terbarunya, Pelan Bundle Huddle XS Super Postpaid bermula Disember lalu.

Apabila pelanggan mendaftar untuk pakej itu, mereka juga akan diberikan Huddle XS iaitu satu peranti 4G hotspot mudah alih bernilai RM480 secara percuma di mana pelanggan akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan sebanyak RM1,069 secara keseluruhan.

Menurut YTL, setiap pakej Xiaomi Redmi Note 4G datang bersama langganan satu pelan Yes Super Postpaid dengan kontrak 24 bulan di mana ia hanya memerlukan pelanggan melakukan pembayaran pendahuluan sebanyak RM589 yang akan direbat kembali dalam tempoh 24 bulan.

“Selain itu, pelanggan berpeluang menikmati kuota data bulanan sebanyak 10 Gigabyte (10 GB) dengan telefon pintar masing-masing, 2,000 minit panggilan suara dan 2,000 sistem pesanan ringkas (SMS) secara percuma pada harga serendah RM69 sebulan,” kata kenyataan terbabit, semalam.

Xiaomi Redmi Note 4G beroperasi di atas platform Android 4.4 (Kitkat) terbaru yang dioptimumkan dengan MIUI versi 5 dan menawarkan 5.5 paparan HD IPS dengan 2 GB RAM dan dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon quad-core 1.6GHz

Ia juga boleh berfungsi dengan lancar bersama Huddle XS yang ringan dan bersaiz padat serta menyediakan sambungan Wi-Fi Yes 4G untuk dikongsi antara lima gajet dengan fungsi Wi-Fi termasuk telefon pintar, tablet dan komputer riba secara serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:07 AM