PEMAIN SSTMI ceria mempamerkan pingat dimenangi mereka.
PEMAIN SSTMI ceria mempamerkan pingat dimenangi mereka.

Kuala Kangsar: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) terus membuktikan kewibawaan pada kejohanan ragbi MCKK Premier 7s apabila membenam cabaran Sekolah Sukan Hong Kong (SSHK) 38-10 pada final di padang ragbi MCKK, semalam.

Kejuaraan kali ini juga yang keempat buat pasukan dari Bandar Penawar itu dalam kejohanan ragbi MCKK Premier 7s selepas kejayaan menjulang Trofi NJ Ryan pada 2011, 2012 dan 2016.

SSTMI meraih enam try menerusi Eddie Arrif Ferdaus Freedy (dua), Shah Fikri Osman, Helmie Iezlan Azmi, Amir Danial Ross Effendy dan Suhairi Efendi Othman manakala Hafizie Sudin menyempurnakan empat conversion.

Jurulatih SSTMI Syed Shazril Syed Mahadzir mengakui puas dengan kejayaan mengekalkan kejuaraan dan berazam terus mempertahankannya lagi tahun depan.

“Saya bersyukur kami mengekalkan kejuaraan dan ini juga kejayaan kali keempat buat pasukan serta kedua untuk diri saya yang mengambil alih pasukan sejak 2014.

“Kami memang menjangkakan saingan sengit tapi saya tahu Hong Kong tidak akan bertahan dalam cuaca panas jadi kelebihan adalah buat SSTMI dengan kecergasan pemain juga baik cuma mulanya saya agak risau mereka akan mengikut corak permainan lawan,” ujarnya.

Dalam penentuan tempat ketiga-keempat kategori Cup, empat try dan satu conversion dari SMK Sri Mersing (SMSM) cukup untuk pasukan itu menang ke atas tuan rumah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 22-5 sekali gus meraih tempat ketiga.

Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII) pula mengungguli kategori Plate selepas mengatasi English College dari Johor 17-0.

Bagi kategori Bowl, pasukan dari Putrajaya iaitu Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) menghampakan Vajiravudh College (VC) dari Thailand 31-10.

Kategori Shield pula dimenangi SMK King George V (KGV) selepas menumpaskan Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) 31-15 dalam perlawanan akhir.

Penyampaian hadiah disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan di padang MCKK.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 8:17 AM