GARDEN-BACNOD (tengah) pamer aksi hebat selaku tonggak Scots.
GARDEN-BACNOD (tengah) pamer aksi hebat selaku tonggak Scots.
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Kangsar: Turun selaku juara bertahan pasukan Scots College dari New Zealand mudah melakar kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan pada Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam.

Mempamerkan larian sempurna dengan corak permainan pantas Scots College mudah membelasah Sekolah Sultan Yahya Petra I 43-0 selain menang besar 56-5 ke atas Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.

Mereka bagaimanapun menerima sedikit tentangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum mengatasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak 33-10.

Biarpun dikategori sebagai kemenangan mudah dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan jurulatih Scots, Malcolm Bradshaw berkata, mereka tidak boleh memandang mudah setiap lawan kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan terutama MCKK yang dilihat antara pencabar yang mampu memberikan saingan.

“Saya gembira kerana semua pemain bermain dengan baik tapi tidak semestinya kami boleh menang semua perlawanan dengan mudah jadi pemain perlu berhati-hati dengan setiap langkah mereka. Kami beraksi dengan majoriti pemain muda bawah 16 tahun dan semuanya pemain baru dan bukannya pemain lama yang berjaya membawa pasukan ini muncul juara tahun lalu.

“Saya melihat kelebihan kami dari segi fizikal dan kawalan bola juga kemas jadi saya tidak sabar untuk menghadapi pusingan seterusnya,” katanya yang bertugas sebagai guru matematik.

Beraksi dalam keadaan cuaca panas yang mencecah 38 Selsius, pemain Scots, Connor Garden-Bacnod menjadi tonggak utama yang melakukan try dan menyempurnakan conversion dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:14 AM