DWAN tidak gentar bermain dengan ular.
DWAN tidak gentar bermain dengan ular.
DWAN ketika bekerja sebagai pembawa ayam di pasar awam.
DWAN ketika bekerja sebagai pembawa ayam di pasar awam.
SALAH satu aksi Dwan ketika terbabit dengan pertunjukan ular.
SALAH satu aksi Dwan ketika terbabit dengan pertunjukan ular.
Redzuan Muharam


Bermalam di kaki lima hentian bas antara kenangan tidak dapat dilupakan selebriti ular Malaysia, Muhammad Ridzwan Shahul Hamid, 25, ketika baru menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.

Muhammad Ridzwan atau lebih dikenali dengan panggilan Dwan berkata, insiden itu berlaku kira-kira empat tahun lalu ketika dia ke ibu kota untuk mencari pekerjaaan.

“Niat saya datang ke Kuala Lumpur ketika itu adalah untuk mencari rezeki selepas ditawarkan seorang individu untuk menjadi pelakon.

“Setibanya di ibu kota, lain pula yang berlaku apabila individu terbabit cuba mengambil kesempatan dengan mengajak saya melakukan perkara terkutuk.

“Walaupun terdesak mencari pekerjaan, saya tidak akan memalukan keluarga dan sebab itu rela bermalam di kaki lima sebelum pulang semula ke kampung keesokan harinya,” katanya.

Anak kelahiran Taiping, Perak itu berkata, pengalaman itu mengajarnya lebih berhati-hati malah dia kini lebih optimis dan fokus mendidik belia mencintai haiwan termasuk ular.

Malah, antara impiannya adalah mengadakan jelajah ke semua sekolah dalam negara bagi mendekatkan murid dan pelajar dengan reptilia berkenaan.

“Saya bukan mahu mengajar kanak-kanak mahupun belia bermain ular tetapi berkongsi ilmu dengan mereka mengenai haiwan itu.

“Apabila ada rasa sayang dan faham sifat ular, saya pasti mereka tidak akan menyeksa atau lebih teruk membunuhnya,” katanya yang belajar bermain ular dengan bantuan Amjad Khan, anak Raja Ular, Allahyarham Ali Khan Samsuddin.

Dwan berkata, selain siri jelajah berkenaan, dia mempunyai impian lain iaitu mengembangkan bakat dalam bidang lakonan. Menurut Dwan, dia pernah berlakon dalam beberapa drama tempatan sebelum ini dan berharap ada lagi produksi yang memberinya tawaran bersesuaian pada masa akan datang.

“Saya ingin berlakon kerana ia sebahagian daripada minat sejak dulu dan menambah pengalaman beraksi depan kamera.

“Selain itu, saya mahu memanfaatkan kebolehan bermain ular untuk filem atau drama yang memerlukan seseorang beraksi dengan haiwan berkenaan.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berharap semua impiannya itu menjadi kenyataan supaya boleh menjadi inspirasi kepada belia lain di negara ini.

“Saya percaya tiada jalan pintas untuk berjaya malah saya sendiri melalui pelbagai pengalaman suka duka dalam hidup, sama seperti orang lain.

“Selain bermalam di hentian bas, saya pernah bekerja sebagai pembawa ayam di pasar dan tukang cuci di sebuah hospital selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Semua itu dilakukan untuk mencari rezeki dan pengalaman berkenaan tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya yang berhasrat menjalin kerjasama dengan pihak pelancongan bagi mempromosi tempat menarik di dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 5:01 AM