Nur Saliawati Salberi

Melaka: Berbeza dengan individu biasa yang gerun dengan bisanya yang boleh membunuh atau geli apabila melihat ular tedung selar, namun bagi Mohd Rizal Manoor, 31, yang menjadikan reptilia terkenal dengan panggilan ‘king cobra’ itu sebagai haiwan peliharaan kesayangannya.

Dia bukan sahaja mahir menjinakkan reptilia berbisa itu, malah mempunyai kebolehan membuat pertunjukan menggunakan ular tedung selar sambil menunggang motosikal.

Menceritakan minatnya, Mohd Rizal berkata, segala-galanya bermula sejak zaman kanak-kanak apabila dia mempunyai naluri dan kegemaran menangkap ular terutama ketika terserempak dengan reptilia itu di kawasan rumah.

Katanya, ketika itu dia akan memburu reptilia terbabit dan membelainya seketika sebelum dilepaskan, namun pada usia remaja, dia memberanikan diri bermain dengan ular berbisa termasuk tedung selar.

Pemuda yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta di negeri ini berkata, walaupun mempunyai pengalaman luas mengendalikan reptilia itu, dia tetap berhati-hati kerana jika tersilap langkah, nyawanya boleh melayang.

“Ular sebenarnya suka dibelai sama seperti haiwan lain, cuma pergerakan dan perangainya sukar dijangka menyebabkan saya perlu sentiasa berwaspada setiap kali memegang reptilia berkenaan.

“Namun, kerana sudah lama memelihara ular terbabit, saya sudah tahu dan dapat mengagak pergerakan serta perangainya.

“Teknik serta tumpuan yang digunakan ketika mengendalikan ular tedung adalah penting bagi mengelak daripada dipatuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Udang, di sini, semalam.

Menurutnya, antara ular yang dipeliharanya kini adalah tedung selar, tiong dan rusuk kerbau.

Dia turut memanjakan reptilia terbabit dengan memberikan makanan istimewa seperti anak ayam, burung puyuh dan tikus selain dimandikan seminggu sekali.

Mohd Rizal berkata, berikutan kemahiran dimilikinya, dia kerap dipanggil bagi membantu menangkap ular yang menceroboh kediaman jiran selain mengajar orang ramai mengenai teknik menjinakkan reptilia itu.

“Saya bercadang membuat persembahan di tempat awam bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai sifat sebenar ular, namun hasrat itu terbantut kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan.

“Kini saya mengajar mereka yang berminat mempelajari teknik mengendalikan pelbagai jenis ular termasuk yang berbisa seperti tedung selar.

“Peluang itu dibuka kepada sesiapa sahaja yang berani menanggung risiko, namun saya sentiasa mengawasi mereka dan menerangkan mengenai bahaya menanti jika tersilap langkah,” katanya.

Bagi menarik orang ramai memahami sifat sebenar ular, Mohd Rizal dan beberapa rakannya menubuhkan Melaka Snake Bite Club pada Julai 2015 yang dinaungi Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 11:29 AM
MOHD Rizal menunjukkan cara dia bermain dengan ular tedung.
MOHD Rizal menunjukkan cara dia bermain dengan ular tedung.