Che Muhammad Ahnaf Anaqi bermain dengan ular sawa Burma milik bapa saudaranya. FOTO Noramalina Alias
Che Muhammad Ahnaf Anaqi bermain dengan ular sawa Burma milik bapa saudaranya. FOTO Noramalina Alias
Nor Amalina Alias


KELETAH Che Muhammad Ahnaf Anaqi Che Mohd Bukhari yang berusia dua tahun bermain dengan ular kelihatan menakutkan, namun itulah ‘permainan’ kanak-kanak itu sejak lebih setahun lalu.

Ahnaf bukan saja berani membelai haiwan reptilia itu yang lebih besar daripadanya, malah kelihatan cukup gembira bermain sambil memandikan empat ular sawa Burma, termasuk Albino yang dimiliki bapa saudaranya, Mohamad Saifullah Omar, 29.

Ibu Ahnaf, Noorlydia Omar, 27, berkata, dia dan keluarga mula sedar minat anak lelakinya itu ketika dia berusia setahun apabila Ahnaf sering mengajaknya bermain ular di rumah Saifullah yang terletak di hadapan rumahnya.

Katanya, lebih menarik empat ular milik Saifullah juga seakan-akan jinak dan suka berkawan dengan Ahnaf kerana tidak pernah menunjukkan sifat agresif jika sedang bermain dengan anaknya itu.

“Pada mulanya, saya risau juga biarkan dia bermain haiwan ini, tapi selepas diberi penerangan daripada adik (Saifullah) tentang sifat dan cara pengendalian ular, baru saya bagi anak bermain dengan ular ini.

“Bagaimanapun, saya tetap utamakan keselamatan anak dan hanya benarkan dia bermain dengan ular peliharaan adik sahaja,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pengkalan Chepa dekat Kota Bharu, hari ini.

Che Muhammad Ahnaf Anaqi bermain dan memandikan (gambar kiri) dengan ular sawa Burma milik Mohamad Saifullah (gambar kanan). FOTO Noramalina Alias
Che Muhammad Ahnaf Anaqi bermain dan memandikan (gambar kiri) dengan ular sawa Burma milik Mohamad Saifullah (gambar kanan). FOTO Noramalina Alias

Noorlydia berkata, setiap hari anak tunggalnya itu akan meminta membawanya bermain dengan haiwan berkenaan dan paling digemarinya jika dapat mandi bersama-sama dengan ular sawa Burma yang beratnya sekitar dua hingga sembilan kilogram.

“Kebiasaannya Ahnaf akan bermain dengan ular itu sekitar 10 hingga 30 minit selain turut meminati binatang lain, seperti labah-labah dan kumbang.

“Bagaimanapun, dia takut dengan lipas,” katanya.

Bagi Saifullah, penjinak ular yang terkenal dengan jolokan ‘Sang Pemujuk Ular’ berkata, empat anak saudara dalam keluarganya tidak takutkan ular, namun Ahnaf paling muda mula mendekati ular dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap haiwan itu.

Katanya, keempat-empat ularnya tidak berbisa dan mendapat kelulusan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang diperbaharui setiap tahun.

“Walaupun nampak berbahaya sebenarnya jika kita belai, jaga makan minum dan tahu pasal ular, kita boleh mengawalnya serta bermain dengan kanak-kanak,” katanya yang turut membuat khidmat masyarakat menangkap ular secara percuma sejak enam tahun lalu.

MOHAMAD Saifullah bersama anak saudara dan keluarga di Kampung Pengkalan Chepa. FOTO Noramalina Alias
MOHAMAD Saifullah bersama anak saudara dan keluarga di Kampung Pengkalan Chepa. FOTO Noramalina Alias

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 8:51 PM