KELAB China, Shanghai Shenhua dikatakan berminat membeli El Shaarawy. — FOTO Agensi
KELAB China, Shanghai Shenhua dikatakan berminat membeli El Shaarawy. — FOTO Agensi
AFP

PENYERANG Itali, Stephan El Shaarawy dilaporkan menolak tawaran lumayan ke China dan mungkin akan menandatangani kontrak baharu bersama AS Roma, lapor media Itali semalam.

El Shaarawy dilaporkan sedia mengikat kontrak tiga tahun dengan Shanghai Shenhua bernilai hingga 16 juta euro (RM75 juta) semusim.

Namun Sky Sport Italia melaporkan pemain berusia 26 tahun itu memikirkan semula mengenainya dan tidak mahu meninggalkan ibu negara Itali.

Akhbar Gazzetta dello Sport mendakwa kelab China itu enggan melayan permintaan pemain itu supaya memberi pandangan mengenai pemilihan jurulatih dan pemain.

Shanghai Shenhua, kini di tangga ke-12 Liga Super China, dilatih bekas pengurus Benfica, Atletico Madrid dan Watford, Enrique Sanchez Flores dari Sepanyol.

El Shaarawy hanya tinggal setahun dalam kontraknya bersama kelab Serie A itu, sesudah menyertai Roma pada 2016 dari AC Milan selepas beraksi secara pinjaman di AS Monaco.

Pemain yang beraksi 23 kali bersama pasukan kebangsaan Itali itu dikatakan mahu perjanjian baharu dengan nilai 4 juta euro (RM18.8 juta) setahun bersama Roma.

Dia menjaringkan 11 gol dalam Serie A musim lalu ketika Roma berakhir di tangga keenam dan layak ke Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 1:22 PM