Milan: Masa depan jurulatih AC Milan Filippo Inzaghi masih belum dapat dipastikan selepas pemain Uruguay Nico Lopez masuk sebagai pemain gantian dan meledak jaringan penyamaan buat Verona, sekali gus mengikat tuan rumah dengan keputusan 2-2 di San Siro.

Milan dilihat hampir muncul pemenang - kejayaan ketiga dalam 11 perlawanan - selepas pemain tengah Panagiotis Tachtsidis menjaringkan gol bagi membolehkan tuan rumah berada di depan. Sebelum itu, Luca Toni menjaringkan gol pertama Verona menerusi penalti manakala Jeremy Menez menyamakan kedudukan buat AC Milan.

Begitupun, Inzaghi dan anak buahnya menerima ejekan penyokong ketika meninggalkan padang dan keputusan seri itu meletakkan mereka di kedudukan ke-10, 23 mata di belakang pendahulu, Juventus.

Milan dilihat terlalu jauh daripada kedudukan untuk mengejar gelaran scudetto musim ini.

“Saya minta maaf kerana kami melepaskan gol ketika permainan berbaki 10 saat. Kami tidak sepatutnya terlepas gol dalam keadaan itu,” kata Inzaghi.

“Sukar bagi semua untuk menerima gol sebegitu, tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak.

“Kami perlu terus berusaha dan memandang ke depan. Masih ada 12 perlawanan musim ini dan kami perlu menang semuanya.”

Inzaghi meletakkan penyerang pinjaman Mattia Destro di bangku simpanan dan barisan serangan dibarisi Giampaolo Pazzini, Alessio Cerci dan Menez manakala Philippe Mexes kembali bermain di benteng pertahanan selepas melengkapkan tempoh penggantungan empat perlawanan.

Verona mendahului selepas 15 minit apabila Toni mengatasi penjaga gol Diego Lopez apabila Sulley Muntari mengasari Artur Ionita di hujung kotak penalti.

Empat minit sebelum tamat babak pertama, Verona memperoleh penalti dan Menez tenang menyempurnakannya sekali gus mengikat kedudukan.

Mexes digantung empat perlawanan pada 27 Januari selepas beberapa insiden kekasaran ke atas kapten Lazio Stefano Mauri ketika pasukannya tewas 3-1.

Kali ini, penampilannya semakin baik dan pada awal babak kedua, rembatannya terkena badan Tachtsidis dan menerjah jaring untuk gol kedua Milan.

Begitupun, ketika permainan hampir tamat, Lopez yang masuk ketika minit ke-70 berjaya menjaringkan gol dan mencuri satu mata di San Siro. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 6:01 AM