ANGGOTA polis Indonesia mengumpul maklumat penumpang daripada waris bagi menolong mengenal pasti mangsa di Lapangan Terbang Juanda di Surabaya. FOTO EPA
ANGGOTA polis Indonesia mengumpul maklumat penumpang daripada waris bagi menolong mengenal pasti mangsa di Lapangan Terbang Juanda di Surabaya. FOTO EPA

Jakarta: Empat lagi mayat mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui pagi ini termasuk seorang pramugari.

Mayat pertama iaitu lelaki ditemui 6.06 pagi, mayat kedua satu mayat wanita berpakaian seragam pramuga ditemui 6.45 pagi dan mayat ketiga seorang lelaki ditemui 6.56 pagi.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, anggota kapal KD Lekir menemui satu mayat pada 9.20 pagi ini di sektor satu.

Mayat itu sudah diambil dan akan diserah kepada kapal Tentera Laut Indonesia KRI BANDA ACEH, katanya menerusi Twitter.

Setakat ini tujuh mayat sudah ditemui namun identiti mereka belum dikenal pasti.

Usaha SAR masih dijalankan namun sedikit terganggu akibat keadaan cuaca yang kurang baik.

Pangkalan Bun Tentera Nasional Indonesia dijadikan lokasi pengumpulan mayat sebelum diterbangkan ke Surabaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 10:50 AM