MACHADO dikatakan bakal meninggalkan Sabah FC selepas perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang TFC di Stadium Likas, malam esok. FOTO SABAH FC
MACHADO dikatakan bakal meninggalkan Sabah FC selepas perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang TFC di Stadium Likas, malam esok. FOTO SABAH FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Khabar angin bertiup kencang mengenai seorang pemain Sabah FC bakal meninggalkan pasukan selepas perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas, malam esok.

Perkara itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu yang antara lain menyebut penyokong Sabah FC yang datang ke Stadium Likas esok mungkin menyaksikan aksi terakhir seorang pemain skuad Sang Badak.

Walaupun tidak disebut nama pemain itu, berdasarkan gambar disertakan dalam hantaran terbabit, penyerang dimaksudkan ialah Ramon Machado.

Bagaimanapun, hantaran mengenai perkara itu sudah dipadam selepas dikongsi beberapa akaun media sosial lain yang dapat menghidu maksud hantaran itu.

Berpandukan hantaran itu, nama Machado disebut bakal meninggalkan skuad Sang Badak selepas perlawanan malam esok, sebelum tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi penyokong bola sepak Sabah.

Sementara itu, menurut sumber, pemain kelahiran Brazil itu yang mempunyai baki kontrak dengan Sabah FC sehingga April tahun depan membuat keputusan untuk berhenti atas sebab tertentu yang dikaitkan dengan masalah dalaman.

Difahamkan, penyerang berusia 33 tahun itu sepatutnya meninggalkan pasukan pada 1 Julai lalu, namun disebabkan aksi suku akhir Piala FA, beliau dikatakan memutuskan untuk menamatkan aksi bersama Sang Badak selepas perlawanan timbal balik menentang TFC itu.

Machado yang menyertai Sabah FC sejak Julai tahun lalu menyumbang banyak gol kemenangan dan antara tonggak penting membantu pasukan ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun lalu.

Malam esok, Sabah perlu memburu gol awal selepas tewas 0-4 di tangan TFC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:46 PM