ANGGOTA keselamatan memeriksa sebuah kereta yang memasuki penjara Gunung Sindur di Bogor pada 22 Januari 2019, di mana ulama radikal Abu Bakar Bashir, dipercayai menjadi tokoh penting dalam rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang dipersalahkan atas pengeboman Bali 2002, dipenjarakan. FOTO fail
ANGGOTA keselamatan memeriksa sebuah kereta yang memasuki penjara Gunung Sindur di Bogor pada 22 Januari 2019, di mana ulama radikal Abu Bakar Bashir, dipercayai menjadi tokoh penting dalam rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang dipersalahkan atas pengeboman Bali 2002, dipenjarakan. FOTO fail
BERNAMA

Jakarta: Jemaah Islamiyah (JI), rangkaian pelampau radikal yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, secara rasmi mengumumkan pembubarannya, menurut laporan media tempatan.

Keputusan untuk membubarkan itu dibuat menerusi video yang tersebar luas berdurasi tiga minit 10 saat, yang dirakam di Bogor, Jawa Barat.

Video itu memaparkan Abu Rusdan, seorang jurucakap penting, membaca deklarasi pembubaran sambil dikelilingi oleh 15 pemimpin terkemuka organisasi itu.

Kesahihan pengumuman yang dikeluarkan pada 30 Jun lalu, disahkan oleh badan pemikir yang berpangkalan di Jakarta, Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC), bersama beberapa pakar keganasan di Indonesia.

Dalam video itu, Abu Rusdan menyatakan bahawa keputusan itu diperakui oleh anggota kanan majlis kepimpinan JI dan pemimpin institusi pendidikan gabungannya dan pesantren.

Mereka juga mengumumkan rancangan untuk menyemak semula kurikulum pendidikan di pesantran ini untuk menghapuskan fahaman ekstremis, selaras dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah, undang-undang negara, dan norma masyarakat.

Kumpulan itu menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada kemajuan dan maruah Indonesia.

Abu Rusdan seterusnya menyatakan: "Perkara berkaitan perjanjian itu akan dibincangkan dengan unit antikeganasan Densus 88 Ibu Pejabat Polis Negara Indonesia."

Video itu turut memaparkan tandatangan 15 pemimpin lain: Para Wijayanto, Abu Mahmuda, Bambang Sukirno, Abu Fatih, Ustaz Zarkasih, Ustaz Shalahudin, Ustaz Fachrudin Soleh, Ustaz Saptono Munadi, Ustaz Abu Dujanah, Ustaz Qadri Faturrahman, Tengku Azhar, Ustaz Imtihan , Ustaz Hamad, Ustaz Mustaqim, dan Ustaz Fahim, semua penandatangan mengesahkan pembubaran JI.

Ditubuhkan pada awal 1990-an dengan aspirasi untuk menubuhkan 'negara Islam' merangkumi selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, dan selatan Filipina, JI mendapat kemasyhuran kerana pembabitannya dalam Pengeboman Bali yang tragis pada 12 Oktober 2002.

Serangan itu, yang menyasarkan beberapa kelab malam dan meragut 202 nyawa, menggariskan aktiviti militan JI dan hubungan globalnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:50 PM