MOHD Najwan menjawab soalan pada Persidangan DUN Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
MOHD Najwan menjawab soalan pada Persidangan DUN Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selangor akan mengkaji semula elaun yang diberikan kepada atlet negeri itu sebagai usaha mengelakkan berlakunya isu 'berpindah' termasuk dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi mengakui banyak kes 'memancing' atlet sehingga menyebabkan Selangor kehilangan atlet berpotensi tinggi termasuk sukan tenis, memanah dan bola sepak.

Menurutnya, beliau tidak menafikan budaya atau trend pancing bukan saja berlaku di Selangor malah negeri lain.

"Bila ada bakat baharu, mungkin negeri lain yang tiada bakat akan melobi atau memujuk menerusi tawaran elaun yang tinggi.

"Kontinjen Selangor ke Sukma juga berdepan masalah sama namun dapat ditangani dengan baik menerusi rundingan dan kaedah lain dilaksanakan bagi pastikan atlet ini kekal mewakili Selangor.

"Memang ada yang berpindah juga tetapi dalam kuantiti yang terkawal," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mohd Najwan berkata, kebanyakan atlet yang dipancing adalah mereka yang boleh bertanding termasuk dalam Sukma selain digilap ke peringkat lebih tinggi bagi mewakili negara untuk Sukan Asia Tenggara, Asia mahupun Olimpik.

Justeru katanya, penelitian semula peruntukkan kewangan terutama elaun amat perlu berikutan Sabah, Sarawak, Terengganu dan Johor mengeluarkan belanjawan besar bagi pembangunan sukan mereka.

Sebelum itu, ketika sesi soal jawab dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lim Yi Wei (PH), beliau menjelaskan pembayaran elaun latihan dibuat mengikut kelayakan, kategori atlet selain pemberian insentif kemenangan, pengiktirafan kurniaan pingat kebesaran negeri dan penganugerahan sukan negeri.

Dalam perkembangan lain, Adun Kota Anggerik berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah gelanggang kabaddi selaras sukan itu tersenarai dalam sukan Sukma.

"Kita akui memang kekurangan kemudahan gelanggang dan terpaksa menyewa di premis lain.

"Kita sedia membina sebuah gelanggang dan bekerjasama dengan persatuan sukan kabaddi," katanya menjawab soalan tambahan Adun Sentosa, G Gunaraj (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:55 PM