FERNANDEZ (kiri) menjaringkan gol tunggal Selangor pada perlawanan suku akhir pertama, minggu lalu. FOTO FB SELANGOR FC
FERNANDEZ (kiri) menjaringkan gol tunggal Selangor pada perlawanan suku akhir pertama, minggu lalu. FOTO FB SELANGOR FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC bersedia menebus kekalahan 1-2 di tangan Kuching City FC apabila bertembung di suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), esok.

Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil berkata, kekalahan tempoh hari memberi peluang buatnya memperbaiki kelemahan, sekali gus memburu kemenangan untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir.

Katanya, situasi semasa pasukan berada pada tahap tertinggi dengan semua pemain berazam memperagakan aksi terbaik di depan penyokong sendiri.

"Semua pemain ambil pendekatan positif sebab ini adalah Piala FA, sentiasa ada peluang untuk tebus kekalahan ini, yang baiknya saya tak katakan ia kekalahan mengejut atau dijangkakan, tidak.

"Saya cuma katakan bila dalam bola sepak, bila kalah banyak benda kita akan bertindak balas dari segi persiapan...dari segi minda, tapi sekali lagi pemain ambilnya secara positif.

"Banyak benda kita belajar daripada perlawanan pertama di tempat lawan dan paling baik sekali, kita akan ada aksi di tempat sendiri yang kita akan cuba tebus kembali minggu ini," katanya menjelang aksi itu esok.

Minggu lalu, Red Giants tumbang mengejut 1-2 di tangan Kuching City FC di Stadium Negeri, yang juga kekalahan pertama kalinya musim ini.

Dua gol pemain Kuching City FC dijaringkan James Okwuosa dan Jordan Mintah manakala satu gol saguhati Ronnie Fernandez memastikan bekalan tipis dibawa ke Kelana Jaya oleh anak buah Aidil Sharin Sahak.

Jelas Nidzam, sokongan padu penyokong Merah Kuning diharapkan dapat melonjakkan motivasi pemainnya esok.

"Pemain tahu apa 'demand' Piala FA. Kuching City dah kejutkan naib juara musim lalu, KL City (di pusingan 16 terbaik).

"Jadi sekali lagi Kuching City pun akan cuba kejutkan kita juga, tapi sekali lagi adakah kita akan biarkan atau tidak biarkan itu berada dalam genggaman kita.

"Bermain di tempat sendiri, reaksi pemain kita berbincang semuanya dalam keadaan terkawal. Kita pandang ke depan dan sedia untuk perlawanan minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:54 PM