Pangkalan Bun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa nahas pesawat AirAsia QZ 8501 pada hari ketujuh semalam, gagal menemukan mayat terbaru berikutan cuaca buruk di lokasi pencarian.

Usaha Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) mengerahkan semua ‘kekuatan’ kapal ke lokasi penemuan dua bongkah besi dipercayai badan pesawat QZ8501 di perairan Selat Karimata, Kalimantan Tengah menemui jalan buntu.

Usaha bermula pagi semalam itu dianggap gagal apabila satu per satu aset angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI) terpaksa pulang ke Pangkalan Bun di sini, dengan tangan kosong.

Pesawat P3-C Orion KN-01 milik Korea Selatan yang dijadualkan membuat pencarian di sekitar kawasan selatan Pangkalan Bun turut kembali ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma selepas empat jam berlegar di udara.

Jarak penglihatan pasukan SAR hanya sekitar 20 meter berikutan cuaca buruk di laut.

Beberapa objek yang ditemui terapung di tengah laut tidak dapat dikutip berikutan ia hilang dari pandangan sebaik pesawat menukar haluan.

Kapal KRI Banda Acheh pula hanya merekodkan penemuan sebuah bagasi hitam, tabung dan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 berwarna kuning.

Semua objek itu kemudian dipindahkan bersama lapan baki mayat yang ditemui kelmarin menggunakan dua helikopter TNI ke Pangkalan Bun.

Dalam pada itu, Kapal Riset Baruna Jaya 1 milik Badan Pengkaji dan Penerapan Teknologi (BPPT) Indonesia turut menemui objek dengan ketinggian tiga meter membabitkan kedalaman hingga 30 meter di sektor empat kawasan pencarian SAR.

Sekitar jam 6.30 petang semalam, operasi SAR masih mengecewakan.

Sementara itu Kapal KRI Banda Acheh dan KRI Bung Tomo memulakan perjalanan ke lokasi penemuan dua objek dipercayai rangka pesawat AirAsia QZ8501 di zon merah, perairan Teluk Kumai.

Perjalanan bermula kira-kira jam 4 petang waktu tempatan dan dijangka mengambil masa kira-kira 18 jam dari Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 6:51 AM