Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi. FOTO Agensi
Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi. FOTO Agensi
Samadi Ahmad


Putrajaya: Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini sehingga 12 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, kehadiran Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu adalah atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Na'im berkata, selain Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Ali Al-Qaradaghi juga adalah tokoh terkemuka dalam bidang Ekonomi Islam,

Perbankan Islam, Maqasid Shariah dan Pemikiran Islam.

Menurutnya, keilmuan beliau diiktiraf sebagai rujukan utama pelbagai institusi kewangan dan perbankan Islam dalam lapangan antarabangsa termasuk juga institusi kewangan di Malaysia.

Katanya, sebagai pemimpin utama Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali berperanan besar dalam mengarus perdana pemikiran kesederhanaan dalam Islam terutama dalam aspek Maqasid Syariah dan Islam dan Kenegaraan.

"Kehadiran Sheikh Ali Qaradaghi akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengadaptasi pendekatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan pemerintahan," katanya melalui satu kenyataan.

Mohd Na'im berkata, sepanjang lawatan rasmi ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sudah menyusun beberapa program antaranya seperti Global Madani Forum Anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Sunway Putra Hotel;

Konvensyen Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah Peringkat Wilayah

Persekutuan anjuran Jabatan Agama Islam (JAWI) di Dewan Syarahan Masjid Negara.

Menurutnya, program lain yang diadakan adalah Sesi Pertemuan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sesi khas bersama Asatizah dan Ilmuan Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin bahawa lawatan rasmi ini akan membawa manfaat kepada keharmonian serta perpaduan masyarakat dan negara.

"Semoga segala perancangan yang disusun ini akan berjalan dengan jayanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:57 PM